fbpx

Kontraktor maut, anak parah tragedi tukar tayar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khaidzir maut dilokasi akibat kecederaan parah di bahagian badan.

JASIN – Seorang kontraktor maut manakala anaknya parah selepas dirempuh sebuah lori ketika sedang menukar tayar kereta di Kilometer 179.3 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah selatan) di Jasin, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, mangsa, Khaidzir Zainuddin, 59, disahkan meninggal dunia di lokasi. Anaknya, Muhammad Ashraf, 22, mengalami patah tulang rusuk dan dikejarkan ke Hospital Tangkak, Johor untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Mispani Hamdan berkata, sebelum kejadian dua beranak itu yang menaiki kereta jenis Mercedes Benz dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Pengerang, Johor.

Jelasnya, bagaimanapun tayar kereta tersebut tiba-tiba pancit dan mangsa telah berhenti di tepi jalan sebelah kiri untuk menukar tayar.

“Sebuah lori tunda turut berhenti bagi membantu mangsa dan dua lagi kenderaan peronda Plus berhenti di hadapan kereta Mercedes Benz berkenaan.

“Setelah kerja-kerja menukar tayar selesai dan mangsa sedang berkemas, tiba-tiba datang sebuah lori Nissan Hicom dari arah belakang melanggar lori tunda berkenaan, menyebabkan ia terlajak dan melanggar dua beranak itu yang sedang berada di bonet kereta mereka,” katanya.

Ujarnya, akibat kemalangan itu, dua beranak itu telah tercampak ke tepi lebuh raya, manakala pemandu lori tunda terbabit mengalami kecederaan di bahagian muka selepas dikatakan terperosok di bawah lori berkenaan.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Jasin untuk proses bedah siasat, manakala pemandu lori tunda terbabit dibawa ke Hospital Tangkak untuk rawatan lanjut.

“Pemandu lori Nissan Hicom berusia 37 tahun telah ditahan untuk ujian air kencing dan sampel darah bagi mengesan kandungan dadah serta alkohol dalam darah,”katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, satu nahas membabitkan sebuah bas ekspres dan treler turut berlaku di kilometer sama, namun di laluan menuju arah utara pada pukul 3.55 awal pagi tadi.

Seramai 16 daripada 27 penumpang warga Singapura dilaporkan mengalami kecederaan ringan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI