fbpx

Bekas Ahli Parlimen Langkawi meninggal dunia di Frankfurt

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Allahyarham Nawawi.

ALOR SETAR – Bekas Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Ir. Nawawi Ahmad, 61, meninggal dunia di Frankfurt, Jerman awal pagi tadi.

Allahyarham juga merupakan Ketua UMNO Bahagian Langkawi.

Menurut Timbalan Ketua UMNO Bahagian Langkawi, Nor Saidi Nanyan, Allahyarham berangkat ke negara itu bagi urusan kerja atas kapasiti beliau sebagai Ahli Lembaga Pengarah Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Isterinya, Datin Shabariah Md. Hassan turut mengiringinya ke sana. Ketika ini saya difahamkan anak Allahyarham juga sedang dalam penerbangan ke negara tersebut bagi menguruskan jenazah arwah.

“Saya sempat menelefon isterinya dan dimaklumkan ada kemungkinan jenazah akan dikebumikan di sana, namun keputusan tersebut masih belum dimuktamadkan,” katanya.

Allahyarham memiliki pengalaman luas dalam bidang politik dan pernah berkhidmat selama sepenggal sebagai Ahli Parlimen Langkawi mulai 2013 hingga 2018.

Sebelum itu beliau turut pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah antara 2004 hingga 2013.

Beliau bagaimanapun tewas kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Susulan kekalahannya itu, beliau turut meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) tidak lama selepas PRU14 berakhir, setelah memegang jawatan tersebut sejak Februari 2014. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI