fbpx

Warga Myanmar kendali bot nelayan tempatan ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bot bersama enam warga Myanmar ditahan pasukan Maritim Malaysia Pulau Pinang di kawasan perairan Pulau Kendi, di sini semalam.

GEORGE TOWN – Enam pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar yang mengendalikan bot nelayan tempatan ditahan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang di sekitar kawasan perairan Pulau Kendi, di sini semalam.

Pengarah Maritim negeri, Kepten Maritim Abd. Razak Mohamed berkata, kapal ronda Maritim Malaysia telah mengesan sebuah bot nelayan kelac C sedang bergerak di kedudukan 114 kilometer barat daya Pulau Kendi ketika dalam perjalanan melaksanakan rondaan Op Tanjung kira-kira pukul 12 tengahari semalam.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot yang berpangkalan di Hutan Melintang, Perak dikendalikan enam kru warga Myanmar termasuk tekong berumur 21 hingga 32 tahun.

“Mereka disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada permit menggajikan warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, bot serta kesemua kru warga asing itu ditahan termasuk hasil laut anggaran 500 kilogram dibawa di Jeti Polis Marin Batu Uban untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

“Maritim Malaysia menegaskan kepada semua terutama komuniti nelayan termasuk pemilik bot agar mematuhi peraturan yang telah ditetapkan dan tidak akan berkompromi dengan mereka yang sengaja melanggar undang-undang Persekutuan yang sedia ada.

“Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut segera hubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang ditalian 04-2626146 atau talian kecemasan MERS 999,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI