fbpx

NATO ikrar bantu Ukraine lawan Russia selama mungkin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ASKAR Ukraine duduk di atas kereta kebal di sebatang jalan di timur Ukraine pada 24 November lalu. - AFP

BRUSSELS – Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) berjanji untuk membantu Ukraine mempertahankan negara itu ketika menentang Russia walaupun ia mengambil masa yang lama, demikian menurut Setiausaha Agung NATO, Jens Stoltenberg.

Menurut akhbar Arab News, pakatan ketenteraan itu juga akan mengubah angkatan tentera Ukraine menjadi moden mengikut piawaian Barat.

Ketika bercakap kepada pemberita menjelang mesyuarat Menteri-Menteri Luar NATO yang akan diadakan di Romania minggu depan, Stoltenberg menggesa negara-negara pakatan tersebut sama ada secara berkumpulan atau sendirian untuk terus membekalkan sistem pertahanan udara dan senjata lain ke Ukraine. 

NATO, sebagai sebuah organisasi, tidak membekalkan senjata.

“NATO akan terus bersama Ukraine selama mana yang diperlukan. Kami tidak akan berundur.

“Sekutu-sekutu (NATO) memberikan sokongan ketenteraan yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan saya menjangkakan Menteri-Menteri Luar (NATO) juga akan bersetuju untuk meningkatkan sokongan yang tidak membawa maut (terhadap Ukraine),” kata Stoltenberg.

Pada kelmarin, Berlin menyatakan ia sedang berbincang dengan Poland bagi meminta unit pertahanan udara Patriot Jerman dihantar ke Ukraine.

“Kami sedang berbincang dengan sekutu kami tentang cara mengendalikan cadangan Poland itu,” kata seorang jurucakap kerajaan Jerman di Berlin.

Berlin menawarkan Warsaw sistem Patriot untuk membantu mengamankan ruang udaranya selepas peluru berpandu sesat terhempas dan membunuh dua orang di negara itu minggu lalu. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI