fbpx

Ismail mengaku salah, enggan buang masa beri penjelasan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ISMAIL berharap orang ramai mendoakan dirinya berubah menjadi lebih baik.

PETALING JAYA – Selepas beberapa kali mengelak menjawab kontroversi video tular membabitkan dirinya, penyanyi Ismail Izzani akhirnya tampil bersuara berhubung perkara tersebut.

Ismail, 22, yang mengaku bersalah bagaimanapun tidak mahu membuang masa untuk memberi penjelasan mengenai kontroversi membabitkan dirinya.

“Kepada semua, apa pun saya bergerak ke hadapan dan memperbaiki diri. Biar hanya keluarga dan rakan tahu, itu sudah lebih daripada cukup.

“Saya tidak perlu menjelaskan apa-apa kerana orang ramai tidak akan mengambil berat mengenai perkara betul atau salah. Saya tidak mahu membuang masa mengenainya.

“Saya mengakui kesilapan saya. Sebagai manusia biasa, saya akan sentiasa beringat di mana saya berdiri. Buruk atau baik, saya masih menjadi diri sendiri,” katanya.

Ismail yang membuat kenyataan tersebyt menerusi Instagram berkata, dia tidak kisah andai ada pihak menganggap dia sengaja melarikan diri bahkan enggan peduli tanggapan orang ramai tentang dirinya.

Pada masa sama, dia juga berharap tiada pihak yang mencampuri urusan peribadinya ekoran kontroversi tersebut.

“Jika ada yang mahu menganggap melarikan diri, teruskan. Saya hanya tidak mahu membuang masa untuk menerangkannya kerana itu adalah kesilapan saya.

“Biarkan saya. Selagi saya dan ahli keluarga tahu apa tindakan selanjutnya, itu sudah memadai. Katakanlah apa yang anda mahu kata. Saya terus kekal dengan landasan saya, sayangi tenaga anda. Selamat menjalani hari indah semua,” tulisnya.

Terdahulu, Ismail enggan bertemu media selepas persembahannya bersama Naim Daniel menerusi lagu ‘Habis Sini’ di Separuh Akhir Muzik Muzik 37 (SFMM37) di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, semalam.

Tindakan pelantun lagu Luar Biasa itu ‘melarikan diri’ kerana didakwa enggan menjawab soalan berhubung kontroversi yang melanda dirinya ketika ini.

Perkara tersebut dimaklumkan pihak pengurusannya dan penyanyi itu dilaporkan pulang awal meskipun SFMM37 masih berlangsung.

Sementara itu, Ismail turut memohon maaf dan meminta semua mendoakan yang terbaik buat dirinya.

Biarpun tidak boleh berjanji, namun dia akan berusaha menjadi lebih baik buat dirinya sendiri.

“Doakan yang baik-baik ya. Saya minta maaf untuk semua kesalahan yang diakukan. Saya tak boleh janji apa-apa tetapi saya akan jadi lebih baik buat diri sendiri. Ini kehidupan dan perjalanan hidup saya,” katanya.

Sebelum ini, tular sebuah video memaparkan seorang lelaki mirip Ismail memeluk seorang wanita seksi sebuah kelab sambil mencium bahagian pipi dan leher dalam keadaan ghairah.

Susulan itu, anak kepada penyanyi era 1980-an, Datin Suliza Salam itu diserang netizen dalam Instagram yang menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak bermoral.

Malah, ibunya juga turut diserang netizen yang meminta penjelasan daripada pihak keluarga.

Kontroversi sebegini bukan kali pertama berlaku kerana Ismail pernah dikecam kerana berpelukan dengan seorang pelakon wanita di kelab malam beberapa tahun lalu. – KOSMO! ONLINE

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, X (Twitter), Instagram, Youtube, & TikTok

TERKINI