fbpx

Piala Dunia: Senegal tambah derita Qatar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Senegal terus menghidupkan peluang untuk melangkah ke pusingan kalah mati selepas menewaskan Qatar 3-1 di Stadium Al Thumama sebentar tadi.

DOHA – Juara Piala Negara-Negara Afrika, Senegal mencatat kemenangan pertama pada saingan Piala Dunia 2022 selepas menewaskan Qatar 3-1 dalam aksi Kumpulan A yang berlangsung di Stadium Al Thumama sebentar tadi.

Keputusan itu menyaksikan Qatar yang beraksi sebagai tuan rumah semakin hampir untuk mengucapkan selamat tinggal apabila menghuni tangga tercorot kumpulan selepas gagal mengutip sebarang mata dalam dua perlawanan.

Senegal yang turut tewas pada perlawanan pertama ketika berdepan Belanda menampilkan aksi cukup agresif apabila melakukan tujuh percubaan serta tiga percubaan tepat pada separuh masa pertama.

Walaupun perlawanan dilihat agak seimbang pada 20 minit pertama, namun Senegal tampak lebih berbahaya apabila sering sahaja memasuki kawasan kotak penalti Qatar dan beberapa kali hampir menjaringkan gol.

Ketika separuh masa pertama berbaki lima minit, Senegal memecah kebuntuan apabila penyerang, Boulaye Dia bijak mengambil kesempatan selepas Boualem Khoukhi gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya untuk meletakkan pasukannya di hadapan 1-0.

Memasuki separuh masa kedua, skuad Teranga Lions tidak menunggu lama apabila hanya memerlukan tiga minit untuk menggandakan kedudukan selepas Famara Diedhiou menanduk masuk sepakan penjuru Ismail Jakobs.

Selepas gol kedua perlawanan, Qatar yang merupakan juara Piala Asia 2019 kemudian cuba melakukan asakan ke arah pintu gol Senegal, namun agak buntu untuk sekurang-kurangnya menjaringkan satu gol.

Pada minit ke-67, Qatar hampir untuk merapatkan kedudukan menerusi bek kanan, Ismail Mohamad, namun percubaannya berjaya diselamatkan Mendy yang menampilkan aksi berkelas dunia bagi memastikan pintu gol Senegal selamat.

Kemasukan pemain gantian, Mohammed Muntari nyata membawa tuah buat tuan rumah apabila berjaya merapatkan kedudukan 2-1 selepas dia menanduk masuk hantaran lintang yang dilakukan Mohamad pada minit ke-78.

Kedudukan itu bagaimanapun hanya bertahan lima minit apabila Bamba Dieng melengkapkan hari cemerlang Senegal dengan menjaringkan gol ketiga, sekali gus terus menghidupkan peluang mereka melangkah ke pusingan kalah mati.

Sementara itu, hasrat Qatar untuk meneruskan kemaraan dilihat hampir mustahil apabila berada di kedudukan tercorot dan perlu berdepan Belanda pada aksi terakhir peringkat kumpulan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI