fbpx

Lebih 3 peratus warga emas kahwin orang muda tahun lepas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Lebih tiga peratus kumpulan pengantin warga emas memilih pasangan yang lebih muda pada tahun 2021.

Data tersebut telah dijelaskan menerusi laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, sebanyak 6.2 peratus pengantin lelaki berusia 65 tahun dan ke atas telah mengahwini pengantin perempuan dalam kumpulan usia 24 tahun dan ke bawah.

“Manakala, 3.6 peratus pengantin perempuan berusia 65 tahun dan ke atas telah berkahwin dengan pengantin lelaki dalam kumpulan usia 24 tahun dan ke bawah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya lagi, statistik perkahwinan meningkat 15.4 peratus pada tahun 2021 dengan bilangan 214,943 kes berbanding 186,297 kes bagi tahun 2020.

Katanya, kes perceraian yang direkodkan pada tahun 2021 pula menunjukkan penurunan sebanyak 7.1 peratus daripada 47,272 tahun 2020 kepada 43,934 tahun 2021.

“Peningkatan bilangan perkahwinan ini disumbangkan oleh penambahan 21 peratus bilangan perkahwinan orang Islam pada 2021 (176,002) berbanding 2020 (145,443).

“Tiga negeri yang menunjukkan peningkatan tertinggi perkahwinan orang Islam iaitu Kelantan (61.3 peratus) diikuti Labuan (56 peratus) dan Putrajaya (37.3 peratus).

“Sebaliknya, bilangan perkahwinan orang bukan Islam pula merekodkan penurunan iaitu 4.7 peratus daripada 40,854 (2020) kepada 38,941 (2021) serta tiga negeri terlibat adalah Terengganu, Perlis dan Johor,” ujarnya.

Jelas Mohd. Uzir, perkahwinan tertinggi adalah pada kumpulan usia 25 hingga 29 tahun bagi kedua-dua pengantin lelaki dan perempuan.

Sementara itu, Mohd. Uzir memaklumkan, daerah Petaling mencatatkan bilangan perkahwinan tertinggi bagi pasangan Islam dan bukan Islam pada 2021 dengan jumlah kes masing-masing 8,531 dan 2,823. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI