fbpx

Guru KAFA Selangor terima elaun RM1,500, subsidi KAFAI RM5 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

SHAH ALAM – Guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) di Selangor terus dibela dan dimartabatkan apabila menerima elaun bulanan RM1,500 bermula Januari tahun depan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, peranan guru KAFA bukan sahaja bertanggungjawab untuk menyampaikan kandungan ilmu semata-mata, malah membentuk pelajar sebagai persediaan kehidupan yang seimbang di dunia dan akhirat.

Katanya, terdapat kira-kira 2,825 guru KAFA di Selangor masih dibayar elaun serendah RM1,350 sebulan.

“Atas keprihatinan kerajaan negeri, pelarasan elaun minimum guru KAFA sebanyak RM1,500 sebulan akan dilaksanakan bermula Januari 2023.

“Sebagai tambahan, sukacita diumumkan elaun bulanan seramai 2,825 guru KAFA akan diseragamkan dan dinaikkan kepada RM1,500 sebulan. Pelarasan itu melibatkan peruntukan sejumlah RM4.8 juta,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2023, hari ini.

Beliau memberitahu, kebajikan 32 penyelia KAFA juga sentiasa mendapat perhatian penuh dengan kerajaan negeri bersetuju memberikan insentif khas RM100 sebulan kepada mereka.

Tambah Amirudin, ini melibatkan implikasi kewangan berjumlah RM38,400 setahun dan berharap dapat meningkatkan motivasi untuk memberi perkhidmatan yang terbaik.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan kerajaan negeri juga bersetuju meneruskan inisiatif pemberian subsidi yuran Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain Integrasi (KAFAI) berjumlah RM5 juta secara ‘one-off’.

“Ini untuk meringankan beban ibu bapa seterusnya dapat melancarkan urusan pembelajaran murid murid.

“Bayaran tersebut akan digunakan bagi menampung pembayaran utiliti termasuk sewa premis, baik pulih bangunan, penyelenggaraan, kemudahan akses internet dan elaun Guru Rakyat,” katanya.

Pada 29 Oktober lalu, Kosmo! melaporkan kira-kira 35,000 guru KAFA di seluruh negara masih dibayar ‘upah’ serendah RM1,000 sebulan walaupun peranan mereka besar dalam mengajar pendidikan Islam kepada anak-anak.

Pendapatan mereka masih berada di bawah paras kemiskinan ketika pekerja kilang dan pengawal keselamatan termasuk warga asing pula sudah lama menikmati gaji minimum sebanyak RM1,500 sebulan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI