fbpx

GRS sertai Kerajaan Perpaduan untuk kebaikan Sabah – Hajiji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor ketika Pembentangan Belanjawan Negeri Sabah 2023 hari ini. -Foto: Ihsan Penerangan

KOTA KINABALU – Ketua Menteri merangkap Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Hajiji Noor memaklumkan keputusan menyertai Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah demi kebaikan Sabah.

Hajiji menyatakan pihaknya sudah menyampaikan hasrat itu kepada Anwar malam tadi dan ia sekali gus menjawab teka-teki mengenai sokongan Sabah terhadap beliau selaku Perdana Menteri ke-10.

“Saya sudah sampaikan hasrat kerajaan negeri di bawah pimpinan saya iaitu GRS kepada Anwar malam tadi.

“Demi kebaikan negeri Sabah, kestabilan politik dan sebagainya maka kita sudah memberi sokongan kepada Perdana Menteri dan kerajaan beliau,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Pembentangan Belanjawan Negeri Sabah 2023 hari ini.

Mengulas lanjut, Hajiji berkata, kerajaan negeri tidak mahu semua perancangan membabitkan kepentingan rakyat dan negeri terganggu disebabkan politik malahan sebaliknya hendak memastikan segala agenda Sabah Maju Jaya (SMJ) dapat direalisasikan sebagai keutamaan demi rakyat Sabah.

“Kita ada tiga tahun lagi untuk memerintah Sabah. Oleh itu, kita tidak mahu terlalu berpolitik dan terdapat pelbagai gangguan kerana paling penting bagi kita ialah kepentingan rakyat dan negeri,” katanya.

Sementara itu, Hajiji turut menegaskan jalinan kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) Sabah tidak menjejaskan hubungan GRS dengan Barisan Nasional (BN) Sabah.

“Saya ingat tiada masalah. Semua pemimpin parti berfikiran matang. Mereka juga memikirkan negeri ini dan rakyatnya.

“Apa yang penting kita memberi fokus kepada pemulihan ekonomi, membangunkan negeri Sabah serta memberi kesejahteraan kepada rakyat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI