fbpx

Bintang pop China, Kris Wu dipenjara 13 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BINTANG pop terkenal China, Kris Wu yang juga bekas ahli kumpulan K-pop terkenal EXO dijatuhi hukuman penjara selama 13 tahun atas kes jenayah rogol.

BINTANG pop China, Kris Wu yang juga bekas artis idola K-pop dihukum penjara selama 13 tahun atas kesalahan merogol oleh mahkamah Beijing.

Kris, 32, didapati bersalah atas dua kesalahan iaitu melakukan jenayah rogol dan mengumpulkan beberapa individu lain melakukan aktiviti seksual.

Hukuman tersebut diputuskan oleh Mahkamah Rakyat Daerah Chaoyang Beijing terhadap Kris atau nama sebenarnya, Li Jiaheng.

Untuk kesalahan jenayah rogol, Kris dihukum penjara selama 11 tahun enam bulan, manakala 22 bulan atas hukuman mengumpulkan orang untuk aktiviti seksual.

Penyanyi yang pernah menjadi ahli kumpulan terkenal K-pop, EXO itu dilaporkan melakukan perbuatan seks bersama tiga wanita di kediamannya tanpa kerelaan mangsa.

Ketika kejadian yang berlaku pada November hingga Disember 2020 tersebut, kesemua mangsa tidak sedarkan diri kerana berada dalam keadaan mabuk.

Kemudian pada 1 Julai 2018, Kris sekali lagi didapati bersalah melakukan aktiviti seks bersama dua wanita selepas mereka mabuk juga di kediamannya.

Kris yang memiliki 50 juta pengikut dalam aplikasi Sina Weibo ditahan polis Chaoyang pada 31 Julai tahun lalu selepas didakwa memperdaya wanita untuk melakukan hubungan seks.

Kes membabitkan penyanyi dengan kerakyatan China-Kanada itu menuai perhatian seluruh dunia selepas seorang wanita dikenali sebagai Du Meizhu membongkarkan tentang perbuatan terkutuk Kris.

Dakwanya, Kris memperdaya ramai wanita dan gadis bawah umur 18 tahun untuk melakukan hubungan seks dengannya dengan alasan merekrut pelakon.

Selepas kes tersebut menjadi perhatian, beberapa jenama besar menamatkan kontrak bersama penyanyi yang dilahirkan di daerah Guangdong itu.

Selain kes jenayah rogol, Kris juga didenda sebanyak 600 juta yuan (RM375 juta) atas kesalahan mengelak membayar cukai menurut Perkhidmatan Cukai Perbandaran Beijing bagi Pentadbiran Percukaian Negeri.

Dilahirkan pada 6 November 1990, Kris merupakan penyanyi, rapper, pelakon dan juga model selain pernah menyertai EXO pada 2012.

Dia hanya sempat bersama EXO selama dua tahun sebelum meninggalkan kumpulan itu pada 2014 dan kemudian melebarkan karier solo dan menceburi dunia lakonan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI