fbpx
Upacara mengangkat sumpah Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10 di Istana Negara, Kuala Lumpur semalam. GAMBAR JABATAN PENERANGAN

Anwar ketuai kerajaan perpaduan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Teka-teki mengenai Perdana Menteri ke-10 akhirnya terjawab apabila Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk memegang jawatan itu.

Anwar, 75, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) meng­angkat sumpah jawatan di hada­pan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
dalam Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia di Istana Negara semalam.

Antara yang hadir pada istiadat itu ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Zuki Ali; Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Pang­lima Angkatan Tentera (PAT), Jeneral Tan Sri Affendi Buang. Turut ha­dir Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu, Anwar berjaya membawa PH memenangi 82 kerusi Parlimen, mengatasi Perikatan Nasional (PH) dengan 73 kerusi dan Barisan Nasional (BN) dengan 30 kerusi.

Bagaimanapun, keputusan itu menyaksikan tiada satupun gabungan parti berjaya meraih majoriti mudah untuk membentuk kerajaan, sekali gus memberi ruang kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membuat ketetapan termasuk memanggil ketua-ketua parti ke Istana Negara.

Kemuncak kepada pemilihan Perdana Menteri berlangsung semalam apabila Seri Paduka Ba­ginda mengadakan Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu.

Anwar menandatangani Surat Cara Pelantikan sebagai Perdana Menteri ke-10 di Istana Negara semalam. – IHSAN JABATAN PENERANGAN

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, ketetapan untuk melantik Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10 diperkenan Seri Paduka Baginda setelah memperhalusi titah pandangan Raja-Raja Melayu dalam Perbincangan Khas.

“Pada sesi Perbincangan Khas di Istana Negara, Seri Paduka Baginda telah berkenan mewasalkan kepada Raja-Raja Melayu proses pelantikan Perdana Menteri baharu susulan PRU15.

“Setelah memperhalusi titah pandangan Raja-Raja Melayu, baginda memberi perkenan untuk melantik Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Tambun sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.

“Perkara itu selaras dengan kuasa baginda yang diperuntukkan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2) (a) Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Ahmad Fadil berkata, baginda turut mengingatkan kepada semua pihak bahawa yang menang tidak menang semua dan yang kalah tidak kalah semua.

Selain itu, ujarnya, baginda turut menegaskan bahawa negara ini umpama harta pusaka di mana para pemimpin adalah pemegang amanah.

“Harta pusaka ini perlu dijaga kerana bakal diwarisi oleh ge­nerasi muda yang akan membawa negara terus ke mercu kejayaan,” ujarnya.

“Baginda turut berpesan kepada Perdana Menteri dan kerajaan baharu yang bakal dibentuk untuk mengambil resmi padi, semakin berisi semakin tunduk.

“Rakyat jelata tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tiada kesudahan ke­rana negara memerlukan sebuah kerajaan yang stabil,” katanya.

Ahmad Fadil berkata, baginda juga menasihatkan ahli-ahli Dewan Rakyat agar mempamerkan solidariti dengan memberikan keutamaan kepada rakyat.

POPULAR