fbpx

6 lelaki Mynmar didakwa belasah warga tempatan sampai koma

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kesemua tertuduh diiringi anggota polis selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, Melaka, hari ini.

MELAKA – Enam lelaki warga Myanmar berdepan hukuman penjara 40 tahun selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas dua pertuduhan membelasah dua beranak warga tempatan sehingga salah seorang daripadanya koma, bulan lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Kyaw Swar Tun, 21; Nyt Lin Paing, 22; Zin Min Htet, 23; Win Zaw, 30; Aung Myint Thein, 31, dan Mya Boe, 33, susulan kesemua mereka tidak memahami Bahasa Melayu.

Pertuduhan bagaimanapun telah dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim, Darmafikri Abu Adam.

Berdasarkan kertas pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh secara bersama-sama telah menyebabkan kecederaan parah ke atas M.K Daniel, 19, dan bapa mangsa, E. Murali Kuppusami, 50, dengan menggunakan objek kayu iaitu alat yang mungkin menyebabkan kematian.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 10.40 malam di Pangsapuri Taman Tasek Utama dalam Daerah Melaka Tengah, pada 31 Oktober 2022.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan hendaklah dikenakan denda atau sebat bagi setiap pertuduhan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Difahamkan salah seorang mangsa iaitu E. Murali kini berada dalam keadaan koma di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka selepas mengalami kecederaan parah di kepala.

Dua beranak itu dikatakan dibelasah teruk selepas menegur tertuduh agar tidak membuat bising di pangsapuri berkenaan.

Terdahulu pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim memohon agar jaminan tidak diberikan kepada kesemua tertuduh dengan mengambil kira kesalahan dilakukan serius.

Mahkamah kemudian bersetuju dengan permohonan pendakwaan dan menetapkan tarikh 21 Disember depan sebagai sebutan semula pertuduhan yang akan dibacakan dalam bahasa Myanmar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI