fbpx

PRU15: Calon Warisan Padang Serai tidak boleh tarik diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lima daripada enam calon Parlimen Padang Serai yang hadir pada proses penamaan calon di Kompleks Sukan Kulim Hi-Tech, Kulim hari ini.

KULIM – Calon Parti Warisan (Warisan) bagi Parlimen Padang Serai, Mohd. Bakhri Hashim tidak boleh menarik diri daripada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana penyertaannya telah disahkan.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Padang Serai, Datuk Abdul Bari Abdullah berkata, Mohd. Bakhri masih dikira sebagai calon walaupun partinya membuat keputusan untuk menarik diri hari ini.

“Tiada dimaklumkan (menarik diri) hari ini. Tak boleh tarik diri setelah masuk (penamaan). Kertas undi pun kita dah hantar untuk cetak lepas selesai penamaan calon pagi ini.

“Malah, dalam peraturan tak boleh tarik diri dan kalau tarik diri juga nama beliau tetap ada. Mereka kena rujuk ibu pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya di sini hari ini.

Terdahulu, Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto Padua Jr. berkata, pihaknya memutuskan untuk tidak bertanding pada PRU15 di Parlimen Padang Serai dan telah memaklumkannya kepada SPR.

Mohd. Bakhri yang telah mengesahkan dirinya sebagai calon pada 5 November lalu tidak hadir pada proses penamaan calon pada pagi tadi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan PRU15 bagi Parlimen Padang Serai ditangguhkan kepada 7 Disember ini susulan kematian calon Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, mendiang M. Karupaiya.

Kerusi itu menyaksikan pertembungan enam penjuru membabitkan calon PH, Barisan Nasional (BN); Perikatan Nasional (PN); Pejuang; Warisan dan seorang calon bebas. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI