fbpx
EMBOLO tidak meraikan jaringan selepas meledak gol buat Switzerland menewaskan Cameroon 1-0 di Stadium Al Janoub sebentar tadi. - AFP

Piala Dunia: Embolo muncul wira Switzerland

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AL WAKRAH – Switzerland harus berterima kasih kepada penyerang, Breel Embolo yang meledak gol tunggal dalam kemenangan 1-0 ke atas Cameroon pada aksi pertama Kumpulan G di Stadium Al Janoub sebentar tadi.

Embolo dilahirkan di Yaounde, Cameroon pada tanggal 14 Februari 1997 tetapi mengikut keluarganya berhijrah ke Perancis sebelum memilih untuk menyarung jersi Switzerland di peringkat antarabangsa.

Biarpun bertemu negara kelahirannya, namun penyerang AS Monaco itu tetap bersikap profesional dengan memberikan prestasi terbaik sehingga berjaya meledak satu gol buat Switzerland.

Gol tersebut hadir menerusi gerakan Granit Xhaka kepada Xherdan Shaqiri yang tidak dikawal dan memudahkannya melakukan hantaran silang untuk disudahkan dengan baik oleh Embolo pada minit ke-48.

EMBOLO (kiri) meledak gol kemenangan Switzerland menewaskan Cameroon 1-0 di Stadium Al Janoub sebentar tadi. – AFP

Satu gol itu sudah cukup buat skuad bimbingan Murat Yakin itu mengutip tiga mata untuk memulakan kempen Piala Dunia 2022 dengan langkah kanan.

Bagi Cameroon, pengendalinya, Rigobert Song seharusnya menyalahkan ketumpulan penyudah jentera serangannya yang memiliki deretan peluang untuk menjaringkan gol dalam babak pertama.

Bagaimanapun, trio serangan diketuai Eric Maxim Choupo-Moting, Karl Toko Ekambi dan Bryan Mbeumo gagal menewaskan penjaga gol Switzerland, Yann Sommer sepanjang perlawanan itu.

Switzerland juga sebenarnya berpeluang menambah jaringan di separuh masa kedua terutama menerusi percubaan penyerang gantian, Haris Seferovic berjaya dihalang pertahanan Cameroon.

Kemenangan itu pastinya memberikan keyakinan tambahan buat para pemain Switzerland sebelum berdepan juara dunia lima kali, Brazil untuk aksi kedua di Stadium 974, Doha pada 29 November ini. – KOSMO! ONLINE

POPULAR