fbpx

Menang atau kalah, jangan lupa rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN/MOHD. FARIZWAN HASBULLAH
NUZULSHAM SAMSUDDIN, WARTAWAN EKSEKUTIF

PILIHAN Raya Umum ke-15 (PRU15) sudah melabuhkan tirainya. Sabtu lalu tarikh keramat 19 November telah menjawab segala-galanya.

Sama ada kita suka atau tidak, semua pihak perlu menerimanya dengan hati terbuka. Daripada rakyat biasa, orang kenamaan dan menteri, semua perlu berlapang dada.

PRU15 kali ini menyaksikan pertembungan kehadiran nama-nama besar seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Selain itu, nama besar lain sudah tentu “tall, dark and handsome” Khairi Jamaluddin yang bertanding bagi kerusi Parlimen Sungai Buloh.

Namun, tiada siapa menduga PRU15 telah membadai nama-nama besar dalam politik apabila ada antara mereka kecundang.

Khairy kalah kepada calon Pakatan Harapan, (PH) R. Ramanan di Parlimen Sungai Buloh.

Turut tewas ialah anak Anwar, Nurul Izzah. Calon PN, Datuk Seri Azmin Ali pula yang selama ini bertahan sebagai Ahli Parlimen Gombak sebanyak tiga penggal akhirnya kalah kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Amirudin Shari dari PH.

Lebih mengejutkan apabila negarawan, Tun Dr. Mahathir Mohamad hilang wang deposit apabila tewas di Parlimen Langkawi selain anaknya, Datuk Seri Mukhriz kalah di kerusi Jerlun.

Namun, tidak juga dinafikan ada antara calon-calon yang meraih kemenangan bergaya. Antaranya Datuk Seri Mohamad Hasan yang berjaya memenangi kerusi Parlimen Rembau dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang terus mempertahankan kerusi Parlimen Bera selama lima penggal berturut-turut.

Bagi Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Datuk Dr. Jeniri Amir, meskipun ramai nama-nama besar yang kalah, ia tidak bermakna mereka perlu mengibarkan ‘bendera putih’ untuk tidak membuat kebajikan kepada rakyat seperti sebelum ini.

“Seorang pejuang yang tulen walaupun menang atau kalah, harus terus berjuang memberi perkhidmatan terbaik waktu susah dan senang, lebih-lebih lagi waktu susah.

“Jika kalah sekalipun, mereka harus terus mendekati rakyat dan ia satu bonus untuk menang pada masa akan datang. Rakyat akan menilai sendiri kejujuran dan peribadinya” katanya.

Mengambil contoh, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Johari Abdul Ghani, meskipun pernah tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), beliau masih meneruskan khidmatnya untuk mendengar masalah penduduk setempat di Parlimen Titiwangsa.

Hasilnya, pada PRU15 kali ini, Johari menang dengan majoriti 4,632 selepas meraih 25,042 undi untuk menewaskan pencabar­nya, Khalid Abdul Samad yang mewakili PH yang sekadar meraih 20,410 undi.

Sehingga analisis ini ditulis, ­tiada sebarang kata putus penu­buhan kerajaan. Apa pun, tidak kira siapa Ahli Parlimen, menang atau kalah, tanggungjawab kepada rakyat perlu diutamakan.

Untuk rekod, parti yang memperoleh majoriti mudah 112 kerusi Parlimen akan membentuk kerajaan, tetapi untuk membentuk kerajaan yang kukuh memerlukan dua pertiga atau 147 kerusi Parlimen.

PRU15 juga mencatat sejarah calon teramai dalam pilihan raya apabila seramai 939 orang bertan­ding bagi merebut keseluruhan 222 kerusi Parlimen.

Selain itu, kira-kira 3.8 juta pengundi muda berusia 18 tahun ke atas, iaitu generasi yang lahir ketika era letusan teknologi maklumat (IT) serta membesar sebagai celik IT membuang undi buat pertama kali. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI