fbpx

Lima lagi penyokong TFC serang bas Selangor ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lima penyokong TFC ditahan reman empat hari di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini.

KUALA TERENGGANU – Lima lagi penyokong Terengganu FC (TFC) yang disyaki terlibat dalam kekecohan selepas perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Selangor FC (Selangor) pada malam Isnin lalu ditahan polis.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, kesemua suspek berusia dalam lingkungan 24 hingga 37 tahun berkenaan ditahan di sekitar bandar raya ini dan Kuala Nerus semalam.

“Mereka ditahan antara pukul 11 pagi hingga 8 malam tadi bagi membantu siasatan kes khianat terbabit.

“Majistret Nik Mohd. Tarmizie Nik Mohd. Shukri telah membenarkan perintah tahanan selama empat hari sehingga Ahad ini di Mahkamah Majistret di sini hari ini,” katanya di sini hari ini.

Rohaimi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

Kosmo! Online kelmarin melaporkan seramai kira-kira 300 penyokong TFC yang tidak berpuas hati dengan kekalahan skuad Sang Penyu pada perlawanan separuh akhir Piala Malaysia telah mengepung laluan keluar pemain dan penyokong Selangor pada Isnin lalu.

Sebahagian mereka kemudiannya membaling batu dan objek keras ke arah bas membawa pemain Selangor yang mengakibatkan cermin dan tingkap kenderaan berkenaan pecah.

Anggota polis menyuraikan kekecohan itu sebelum membantu mengiringi semua bas membawa pemain dan penyokong Selangor memasuki Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) dengan selamat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI