fbpx

Klinik bergerak beri peluang asnaf, B40 terima rawatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dr. Roslan (duduk, tengah) mencuba rawatan di Klinik Bergerak Wakaf An-Nur Zakat Pulau Pinang di Bandar Perda hari ini.

SEBERANG PERAI – Selepas memiliki sebuah klinik pesakit luar yang terletak di pekarangan Masjid Seberang Jaya di sini, Waqaf An-Nur Corporation Berhad (WANCorp) melalui rangkaian Klinik Waqaf An-Nur (KWAN) kini melebarkan lagi sayap dengan mewujudkan sebuah klinik bergerak di negeri ini.

Klinik bergerak kelapan itu direalisasikan susulan pemeteraian perjanjian kerjasama (MoA) antara WANCorp bersama KPJ Healthcare Berhad (KPJ Healthcare) dan Zakat Pulau Pinang (ZPP).

Melalui kerjasama itu, ZPP bertanggungjawab menyediakan kemudahan seperti kenderaan diubah suai mengikut keperluan perawatan serta spesifikasi yang mendapat kelulusan beberapa pihak termasuk Kementerian Kesihatan (KKM), menguruskan kos penyelenggaraan serta perbelanjaan pengurusan operasi selain menyediakan pemandu terlatih.

Sementara itu, KPJ Healthcare melalui Hospital Pakar KPJ Pulau Pinang di sini bertanggungjawab menyediakan tenaga pakar terdiri daripada pegawai perubatan, jururawat, pembantu perawatan serta ubat-ubatan yang diperlukan mengikut keperluan semasa.

Menurut Pegawai Pimpinan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif KPJ Healthcare, Norhaizam Mohammad, misi mereka adalah menyediakan perkhidmatan penjagaan kesihatan yang berkualiti kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang.

Menurutnya, klinik bergerak yang menawarkan rawatan asas itu akan memfokuskan 15 kawasan di seluruh negeri secara berperingkat-peringkat.

“Klinik bergerak ini sebenarnya alternatif kepada klinik yang terdapat di Seberang Jaya, namun ia memfokuskan kawasan-kawasan yang jauh daripada kemudahan klinik dan hospital.

“Buat permulaan, kita akan cuba pergi ke 15 kawasan ini dan jika ada keperluan nanti, kita akan cuba tambah (kawasan liputan untuk klinik bergerak itu),” katanya selepas sesi pelancaran yang turut dihadiri Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Dr. Roslan Ahmad di Bandar Perda, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif ZPP, Datuk Amran Hazali memberitahu, sebagai permulaan, pihaknya telah menyediakan peruntukan sehingga RM400,000 bagi tujuan pembelian kenderaan, pengubahsuaian serta reka bentuk yang diperlukan untuk klinik bergerak itu.

Pada masa yang sama katanya, ZPP akan turut menyediakan peruntukan tahunan sebanyak RM300,000 untuk pengoperasian klinik berkenaan.

“ZPP berbesar hati untuk terus memberi manfaat kepada komuniti setempat dan dapat berkhidmat kepada segenap lapisan masyarakat terutamanya kumpulan asnaf fakir dan miskin serta keluarga daripada golongan B40 (berpendapatan rendah).

“Untuk pengetahuan juga, sehingga November ini, ZPP telah mengagihkan sebanyak RM13.5 juta untuk skim-skim perubatan kepada asnaf di seluruh Pulau Pinang,” tambah beliau. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI