MASIH teringat saat pertama kali Rosliza Ghazali memberanikan diri memohon jawatan sebagai pembantu tadbir (kesetiausahaan) di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) sekitar 24 tahun lalu.
Permohonannya hanya sekadar mahu mencuba nasib dan tidak pernah menyangka akan mendapat respons baik, sebelum dipanggil untuk temu duga jawatan yang dipohon.
Ketika mula diterima masuk sebagai pembantu tadbir, perasaan Rosliza bercampur baur antara gembira, gementar dan bermacam-macam lagi.
Manakan tidak, bukannya mudah untuk seseorang mendapat kerja di sebuah institusi Islam berpengaruh di negara ini pada ketika itu.
“Kalau dikenang kembali, sumpah saya sendiri tidak percaya dapat diterima masuk menyertai warga kerja IKIM pada 1998.
“Rasa gembira dan gementar bercampur baur. Bukan setakat berkhidmat, saya sendiri dapat mendalami ilmu Islam dengan lebih menyeluruh di tempat saya mencari rezeki ini,” kata Rosliza, 46, yang sudah lama berkhidmat di IKIM kepada K2.
Berpengalaman melihat perkembangan IKIM dahulu hingga sekarang, cerita anak jati kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu, pada peringkat awal bekerja, dia ditempatkan di unit pentadbiran yang mana banyak tertumpu kepada selok-belok pengurusan institusi berkenaan.

Setelah 14 tahun berkhidmat, dia ditukarkan ke bahagian pejabat pengerusi yang memberikan cabaran tersendiri buatnya sebagai setiausaha.
“Jujur skop tugasan sekarang agak mencabar berbanding di unit pentadbiran sebelum ini.
“Kerja sekarang memerlukan saya berdepan kunjungan hormat para cendekiawan Islam dari seluruh dunia ke IKIM.
“Tugas ini memerlukan kemahiran dari segi protokol, etika dan perhubungan awam kerana ia adalah sebahagian daripada imej IKIM sendiri.
“Saya gembira dan tidak sangka sudah hampir dua dekad berkhidmat dan menjadi sebahagian daripada keluarga IKIM yang baru menyambut ulang tahun ke-30 penubuhannya tahun ini iaitu pada 18 Februari lalu,” katanya.
Untuk makluman, IKIM ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 1965.
Bangunan IKIM di Kuala Lumpur dirasmikan pada 3 Julai 1992 oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Sementara itu, Ketua Pengarah IKIM, Prof. Madya Dr. Mohamed Azam Mohamed Adil berkata, sambutan ulang tahun ke-30 merupakan satu kejayaan membanggakan buat IKIM.
Dia yang dilantik menjawat jawatan itu pada 3 Februari lalu berkata, IKIM diwujudkan sebagai institusi penyelidikan dan pemikiran Islam tersohor di negara ini.

Tambahnya lagi, IKIM sendiri telah berusaha meningkatkan kefahaman Islam kepada masyarakat di negara ini serta peringkat antarabangsa.
“Selama 30 tahun kewujudan IKIM, ia telah berjaya memberi dan membentuk kefahaman Islam sebenar melalui wacana akademik, seminar, persidangan, muzakarah pakar, penyelidikan serta penerbitan.
“Tidak setakat itu, platform penyiaran seperti Radio IKIM turut menjadi saluran media utama yang digunakan bagi memenuhi objektif dan slogan institusi ini iaitu Memahami Islam Membina Peradaban.
“Di samping itu, TV IKIM yang diwujudkan turut membantu menyiarkan pelbagai program berbentuk keagamaan yang dipancarkan secara terus menerusi platform media sosial rasmi kami,” katanya.
Ditanya mengenai cabaran yang dilalui IKIM sepanjang tiga dekad, Mohamed Azam mengakui, rintangan terbesar dihadapi adalah memberi kefahaman Islam sebenar kepada masyarakat majmuk di negara ini.
“Sebagai sebuah tangki pemikir (think tank) Islam pertama dan penting bagi negara, IKIM perlu meningkatkan usaha untuk memberi kefahaman Islam mengikut acuan di Malaysia dengan merujuk kepada realiti semasa.
“Jika tidak, Islam akan dianggap jumud dan ketinggalan zaman oleh masyarakat luar, waima orang Muslim sendiri,” katanya.
Sempena ulang tahun ke-30, IKIM menganjurkan pelbagai program menarik, antaranya Kongres Nasional Islam, Keluarga Malaysia dan Keharmonian: Membenteng Agenda Kalis Cabaran Masa Depan; Wacana Media
Pendekatan Elemen Popular Dalam Penyampaian Dakwah Islam; Discourse On Islam And Biomedical Ethics: The Way Forward dan Towards a Wiser Thinking on Development.
Tidak setakat itu, IKIM juga aktif menjalankan kolaborasi penyelidikan bersama pelbagai institusi akademik tempatan dan luar negara dalam pelbagai bidang kajian ilmiah dari semasa ke semasa.
“Setakat ini, terdapat tiga pusat akademik yang menjadi tulang belakang aktiviti ilmiah di IKIM iaitu Pusat Kajian Syariah, Undang-Undang dan Politik, Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan serta Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar.
“Kejayaan dan kebanggaan lain, IKIM telah menghasilkan sekitar 200 buah penerbitan ilmiah dan jurnal.
“Penerbitan buku-buku akademik ini sedikit sebanyak menyumbang kepada keilmuan yang akan mengangkat dan memartabatkan bidang itu di Malaysia,” ujarnya lagi.

Antara karya yang berjaya diterbitkan sepanjang 2022 adalah Ungku A. Aziz and Muslims Development; Siri Madrasah Ramadan: Pengajaran Dari Pelbagai Dimensi dan Model Pendidikan Islam Membina Peradaban.
Menyentuh mengenai perancangan IKIM pada masa depan, Mohamed Azam yang juga Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, International Institute of Advanced Islamic Studies berkata, dua perkara utama sudah dirancang pihaknya.
“Pertamanya, kami merancang untuk meningkatkan jumlah penglibatan orang bukan Islam dalam program IKIM terutama di semua platform sama ada radio, televisyen atau media sosial.
“Kedua, pengantarabangsaan IKIM yang mana usaha sedang dirancang supaya kami dapat bekerjasama dengan institusi luar negara seperti dari Timur, Asia Barat, Asia Tengah dan Barat dalam meningkatkan program, penyelidikan serta penerbitan.
“Sebagai permulaan, satu program khas berjudul The World Today: Conversations with the Ambassadors telah disiarkan dalam Radio dan TV IKIM untuk musim pertama.
“Satu program berprestij juga sedang dirancang bersama Oxford Centre for Islamic Studies (OCIS) bagi penganjuran program OCIS-IKIM Annual Lecture Series bermula tahun depan,” ujarnya.
Menariknya, Radio IKIM yang menjadi pelopor rasmi media Islam di negara ini akan terus disemarakkan dengan syiar dakwah menerusi penglibatan para ulama, mufti dan saudara baharu Islam.
Tambah Mohamed Azam, perpustakaan IKIM mempunyai keunikan tersendiri. Katanya, perpustakaan tersebut menempatkan pelbagai koleksi khas tamadun Islam yang merangkumi 8,001 buku serta jurnal dalam pelbagai bidang peradaban termasuk karya nadir sejak abad ke-17 hingga ke-19 dan separuh abad ke-20.
Koleksi-koleksi itu terdapat dalam 20 bahasa termasuk Arab, Turki, Parsi, India, Inggeris, Utara Afrika dan Sepanyol.














