fbpx
PELAKON Hans Isaac mendedahkan, ramai yang tidak bersetuju dengan perjuangannya bersama Pakatan Harapan (PH) sejak tiga tahun lalu.

Dahulu ramai ‘tembak’ perjuangan PH saya – Hans Isaac

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Pelakon juga pengarah terkenal, Datuk Hans Isaac berterima kasih kepada rakyat Malaysia kerana menjadi tunjang utama sistem demokrasi negara apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 selepas melalui perjuangan yang panjang.

Hans atau nama sebenarnya, Gerald Hans Isaac berkata, perjuangannya bersama Pakatan Harapan (PH) awalnya tidak dipersetujui ramai namun kini semuanya berubah.

“Pertama sekali, saya berterima kasih daripada Pakatan Harapan (PH) kepada semua pengundi yang membantu kami untuk memberi mandat kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri ke-10.

“Jauh perjalanan dan perjuangan. Ramai yang ‘tembak’ saya dan ramai yang cakap ‘apalah Hans kau buat ni’,” kata bekas Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) itu menerusi satu muat naik video dalam Instagram.

Membawa semangat Malaysia baharu, Hans, 51, menyeru semua pihak agar bekerjasama demi membangunkan negara dan mengenepikan kepentingan sendiri.

“Apa yang kami harapkan adalah satu unity (perpaduan) walaupun unity kerajaan atau rakyat, tak kira. Niat saya kenapa saya buat benda ini adalah untuk satu Malaysia yang bersama.

“Tak kiralah kaya atau sebaliknya dan bukan juga isu perkauman juga tapi status. Niat kami sekarang untuk berkerja untuk semua orang.

“Saya tiada jawatan. Saya hanya ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP). Tapi, sebagai seorang ahli parti mewakili PH, saya akan berusaha untuk membantu meningkatkan apa yang boleh dalam negara kita.

“Apa-apa sahaja yang saya diminta buat untuk membaikkan negara, saya akan lakukannya. Kita perlukan satu Malaysia untuk membangunkan negara ini,” ujarnya.

Tiga tahun berjuang untuk Parti Keadilan Rakyat (PKR), Hans sebelum ini menang jawatan Ketua Cabang Ampang pada Julai 2022 selepas pemilihan kali kedua dijalankan dengan memperoleh 748 undi, menewaskan pencabar terdekat Altimet dengan perbezaan dua undi, iaitu 746 undi.

Sebelum proses pemilihan kedua dijalankan, Daing Muhammad Reduan Bachok dilapor menewaskan Hans dan Altimet apabila beliau menerima jumlah undian tertinggi iaitu 942 undi.

Hans pernah menuntut jawapan daripada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) PKR berhubung keputusan Pemilihan PKR 2022 peringkat cabang Ampang yang menyaksikan beliau tewas kepada Altimet selepas kiraan semula dibuat.

Hans dan Shahrol Shiro pernah melahirkan hasrat untuk menjadi calon parti masing-masing pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) namun niat tersebut tidak kesampaian.

Dedikasi pelakon filem Persona Non Grata itu bagaimanapun tidak terhakis apabila sama-sama membantu jentera parti sepanjang kempen PRU15, termasuk menjadi pengiring calon PH Parlimen Ampang, Rodziah Ismail pada Penamaan Calon PRU15. – KOSMO! ONLINE

POPULAR