fbpx

Surat sokong Anwar jadi PM bukan keputusan konsensus BN

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sin Woo

PETALING JAYA – Surat ditandatangani Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengenai BN memberi sepenuh kepercayaan dan sokongan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10, bukanlah keputusan yang dibuat secara konsensus dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam tadi.

Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon berkata, Dewan Tertinggi BN sebaliknya kekal dengan pendirian berkecuali dan tidak menyokong mana-mana pihak buat masa ini.

“Apa yang berlaku dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam tadi, MCA dan parti-parti komponen BN telah mempersoalkan tindakan Ahmad Zahid yang dilihat secara jelas bercanggah dengan apa yang diputuskan oleh Dewan Tertinggi BN.

“Pada mulanya beliau cuba menafikan mengenai surat tersebut, namun mengakuinya selepas salah seorang anggota Dewan Tertinggi BN mengemukakan bukti sahih.

“Surat yang diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong itu secara jelas melanggar ketetapan yang dibuat Dewan Tertinggi BN dan dilihat mempersembahkan maklumat salah kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular di media sosial surat bertarikh semalam menggunakan kepala surat BN ditandatangani Ahmad Zahid mengenai gabungan parti tersebut memberi sepenuh kepercayaan dan sokongan kepada Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10.

Dalam pada itu, Sin Woon memberitahu, MCA percaya Ahmad Zahid tidak lagi layak memimpin BN sebagai pengerusi dan sekali lagi menggesa beliau meletakkan jawatan secara terhormat.

Jawatan itu seterusnya digantikan dengan Datuk Seri Mohamad Hasan seperti yang disarankan dalam Mesyuarat Dewan Tertinggi BN malam tadi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI