fbpx

Mak cik ‘Milo’ terlelap ketika berniaga air bawah jambatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar seorang warga emas yang terlelap di jambatan (flyover) Kampung Pasir sewaktu sedang meniaga air milo kotak.

PETALING JAYA – Seorang wanita berusia lingkungan 80 tahun yang meniaga air kotak di bawah jambatan kawasan Kampung Pasir menghadap Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Tamil) Saraswathy sehingga terlelap telah mengundang rasa simpati daripada para netizen.

Video tular sejak beberapa hari lepas yang dimuatnaik seorang pengguna media sosial TikTok, @b.fastoree2 itu memperlihatkan seorang warga emas yang dipercayai ibu tunggal sedang terlelap di bawah jambatan berkenaan.

“Saya sering lalu kawasan itu dan kadang-kadang menyinggah juga untuk membeli air milo yang berharga RM10 sekotak. Kami juga sempat berbual dan menurut mak cik itu, suaminya sudah sembilan tahun meninggal dunia. Manakala anaknya pula menetap jauh daripadanya.

“Kami berasa sungguh simpati terhadap nasib mak cik tersebut. Kemudian, kami memberikan sedikit sedekah berbentuk makanan kering dan basah. Hanya itu sahaja yang mampu kami lakukan bagi membantu mak cik milo tersebut,” jelasnya dalam satu video hantarannya.

Menurut hantaran itu lagi, rumah warga emas tersebut agak jauh daripada lokasinya berniaga dan dia perlu berjalan kaki setiap hari pulang ke rumah dan di rumahnya pula tidak terdapat lif.

Adakalanya, dia juga perlu berulang-alik dari rumah untuk menunaikan solat dan menuju ke bawah jambatan itu untuk meniaga semula.

Apabila sebut sahaja mengenai suaminya, air mata mak cik itu mulai bergenang. Wanita tersebut mengakui rasa rindu yang amat mendalam terhadap suaminya yang telah lama meninggal dunia.

Meninjau ruangan komen, rata-rata pengguna laman sosial meluahkan rasa simpati masing-masing dan ada juga yang mendoakan mak cik tersebut.

“Keadaannya yang meniaga sehingga terlelap itu sahaja sudah cukup membuatkan saya berasa sebak. Rumah pula jauh dan terpaksa berpatah balik untuk menunaikan solat. Semoga rezekinya melimpah ruah,” kata seorang pengguna.

“Muhasabah diri. Nikmat manakah yang saya hendak dustakan sedangkan orang lain bersusah payah mencari rezeki. Hanya saya sahaja yang sering mempersoalkan kehidupan yang serba kekurangan,” ujar seorang pengguna lain. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI