fbpx

Noah janji, 2023 turun KL sekali lagi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NOAH menghiburkan lebih 2,500 peminat tempatan pada konsert Noah Live in KL pada 12 November lalu.

KEHADIRAN kumpulan popular dari seberang, Noah ke negara ini sememangnya antara momen yang dinanti-nantikan ramai.

Berbekalkan pengalaman selama 22 tahun dalam dunia seni, Noah teguh dalam liganya sendiri bukan hanya di Indonesia, bahkan Malaysia.

Jika dihitung, kali terakhir memijak bumi Malaysia adalah sekitar lima tahun lalu menerusi konsert Noah Live In Kuala Lumpur (KL) 2017.

Menghapus rindu, kedatangan semula band itu menggamit keterujaan peminat selepas sekian lama.

Segala perasaan yang terpendam akhirnya terhurai menerusi penganjuran cemerlang konsert Noah Live In KL yang berlangsung di Zepp KL pada 12 November lalu.

Kehadiran lebih 2,500 penonton memenuhi lokasi membuktikan band ternama yang dibarisi oleh Ariel sebagai vokal utama, David (keyboard) dan Lukman (gitaris) itu masih digilai ramai.

TIDAK puas! Noah berjanji akan kembali menghiburkan peminat Malaysia pada tahun depan dengan konsert lebih gah.

Tepat pukul 8.45 malam, Ariel muncul dalam samar cahaya lampu neon biru dengan lagu pemanas pentas, Separuh Aku yang dipetik daripada album Seperti Seharusnya (2012).

Gamat! Kemunculan band itu di atas pentas disambut dengan jeritan bergema peminat yang turut sama bernyanyi penuh bertenaga.

Melonjakkan adrenalin penonton, Ariel dengan penuh energetik meneruskan lontaran vokal hebatnya dengan lagu-lagu popular pada era kegemilangan Peterpan sebelum nama mereka ditukar menjadi Noah.

Antara lagu lain yang disampaikan pemilik nama penuh Nazril Irham itu ialah Menunggumu, Di Balik Awan, Wanitaku dan Di Atas Mortal.

“Tenaga saya mungkin tidak sama seperti dahulu kerana bukan lagi berusia 23 tahun.

“Namun, gembiranya hati kami dapat beraksi di hadapan anda semua tidak dapat digambarkan dengan kata-kata. Malaysia selalu memberi tenaga yang luar biasa,” kata Ariel, 41.

Tidak membuang masa, Ariel terus mengikat tenaga peminat dengan mengajak menyanyi bersama-sama menerusi lagu Menghapus Jejakmu yang diluncurkan pada 2007 dalam album ketiga Peterpan iaitu Hari Yang Cerah.

Meskipun mengalami masalah kesihatan sehingga suaranya menjadi serak, energi vokalis itu di atas pentas tetap membuak-buak demi menghidangkan persembahan terbaik buat peminat yang hadir.

PADA usia 41 tahun, energi Ariel masih lincah seperti dahulu. Visualnya selaku vokalis kacak juga menjadi bualan peminat ketika konsert sehingga trending dalam media sosial.

Persembahan diteruskan ke bahagian klimaks apabila kumpulan itu membariskan lagu paling popular mereka iaitu Ku Katakan Dengan Indah, Bintang Di Surga, Ada Apa Denganmu dan Mungkin Nanti.

Sepanjang acara yang dibawakan khas oleh YOLO Malaysia tersebut, jeritan ‘lanjut, lanjut’ tidak putus-putus dilontarkan peminat Noah.

Ternyata kepuasan ribuan penonton pada malam konsert yang berlangsung selama satu jam 15 minit berkenaan tidak mencapai skala 100 peratus walaupun 16 buah lagu dimainkan.

Kekecewaan sedikit terasa apabila lagu Taman Langit dan Mimpi Yang Sempurna tiada dalam senarai.

Sebelum menutup gelanggang persembahan, David membuka rahsia bahawa mereka bakal kembali pada tahun 2023 dengan konsert mega dan membawa lebih banyak karya baharu.

“Terima kasih semua, semoga kita bertemu lagi pada tahun hadapan dalam sebuah acara sebegini di lokasi lebih besar,” katanya.

Ilham bantuan

Biarpun pandemik yang menyerang dunia turut menjejaskan ekonomi dan sistem sosial, Noah bersyukur masih berpeluang bekerja menerusi persembahan secara maya.

Melihat rakan seperjuangan lain terutama pemuzik serta kru belakang tabir terjejas teruk dari segi pendapatan, band tersebut enggan berdiam diri.

David mendedahkan, dari situ tercetus ilham membantu teman seindustri dengan menjual album keluaran khas berbentuk vinil emas koleksi terhad dan secara bidaan untuk tabungan.

NOAH menghapus kerinduan peminat tempatan apabila turun ke Kuala Lumpur menghiburkan lebih 2,500 penggemar setia di Zepp KL baru-baru ini.

Mereka tidak menyangka usaha yang pada awalnya dirasakan kecil mampu mengumpul sekitar RM200,000 yang turut meraih sambutan peminat muzik serta penyanyi lain.

“Kami terbitkan piring hitam koleksi emas bersempena ulang tahun Noah pada 2020, juga sebahagian usaha meringankan beban sahabat lain yang terjejas akibat impak Covid-19.

“Kami tak sangka ramai sahabat termasuk Raffi Ahmad dan isterinya, Nagita Slavina beri sokongan jitu. Malah, mereka turut menjadi pembida tertinggi dengan nilai RM75,000.

“Sudah pasti penerbitan vinil emas Noah Special Edition Keterkaitan Keterikatan sangat memberi makna kepada kami semua,” kata David.

Tambahnya lagi, keseluruhan hasil jualan serta bidaan vinil edisi khas tersebut disalurkan kepada persatuan berkaitan artis, pengurusan serta teknikal persembahan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI