fbpx

Konsert sulung ditunda, Hael Husaini janji kelainan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HAEL Husaini memohon maaf kepada peminat kerana penundaan konsert sulungnya yang sepatutnya berlangsung pada 4 Disember depan dianjak ke 19 Februari 2023.

PETALING JAYA – Konsert sulung penyanyi dan juga komposer Hael Husaini Live In KL yang sepatutnya diadakan pada 4 Disember depan ditunda ke tarikh baharu iaitu pada 19 Februari 2023.

Penganjur dan juga peneraju hiburan, Rocketfuel Entertainment menerusi satu kenyataan memaklumkan, lokasi konsert bagaimanapun masih dikekalkan iaitu di Zepp Kuala Lumpur.

Ketua Rocketfuel Entertainment, Feros Sayna berkata, pihaknya memohon maaf kepada peminat Hael atas penukaran tarikh baharu yang dirasakan lebih wajar.

“Bagi pihak pengurusan, kami ingin memohon maaf atas penukaran tarikh konsert pada 19 Februari 2023.

“Kepada pembeli tiket konsert, jangan risau kerana tiket kekal sah pada tarikh yang telah dijadualkan semula,” katanya.

Ujar Feros lagi, sebagai tambahan, Rocketfuel menjanjikan sebuah persembahan konsert hebat dan penuh bertenaga berkonsepkan ‘boogie shoes’ untuk kepuasan penonton.

“Pihak kami menjanjikan sebuah konsert yang energetik dan penuh bertenaga berkonsepkan ‘boogie shoes’. Penonton digalakkan bernyanyi dan menari bersama-sama Hael sepanjang konsert nanti.

“Rocketfuel sangat menitikberatkan perasaan peminat Hael supaya tidak berasa kecewa kerana dia sendiri mahu memberikan yang terbaik,” kata Feros.

Sementara itu menurut Hael, 34, sebagai penyanyi, mengadakan sebuah konsert sudah menjadi impiannya sejak dahulu.

Bagaimanapun, impian penyanyi lagu Jampi itu hanya terlaksana selepas 15 tahun dia bertapak dalam industri.

“Banyak yang ingin saya tonjolkan pada malam konsert nanti yang berkonsepkan festival.

“Saya menganggap konsert ini sebagai pementasan perjalanan karier seni saya secara muzikal, bagaimana saya bermula sebagai penyanyi dan juga pencipta lagu,” katanya.

Dalam pada itu, Hael turut mengucapkan terima kasih kepada peminat kerana bersabar dengan penundaan tarikh konsertnya.

“Saya ingin memohon maaf atas sebarang kesulitan yang timbul,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI