fbpx

Mira Filzah puji Qatar julang Islam dalam temasya sukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MIRA Filzah mengagumi cara tuan rumah Piala DUnia 2022 iaitu Qatar yang menjulang agama Islam pada acara pembukaan temasya tersebut semalam.

PETALING JAYA – Aktres popular Mira Filzah memuji inisiatif tuan rumah kejohanan bola sepak Piala Dunia 2022 di Qatar yang mengangkat kebesaran agama Islam dalam sebuah temasya sukan bertaraf antarabangsa.

Pemilik nama penuh Nur Amirah Filzah Badioezaman itu sangat mengagumi cara tuan rumah mempersembahkan keindahan Islam di mata dunia terutama pada acara pembukaan yang dimulakan dengan alunan bacaan al-Quran oleh Ghanim al-Muftah.

“Allahuakhbar, sangat indah acara pembukaan untuk piala dunia.

“Semoga ini menjadi asbab untuk orang luar di sana lebih menerima dan membuka mata tentang Islam,” puji pelakon berusia 29 tahun itu.

Dalam perkongsian lain, pelakon drama Pujaan Hati Kanda itu juga turut berpendapat cara dan syarat pihak tuan rumah memartabatkan Islam sepanjang piala dunia berlangsung harus diberikan pujian.

Antara peraturan yang dikuatkuasakan ialah mengharamkan penjualan atau membawa minuman beralkohol di semua lokasi acara bola sepak berlangsung.

PUJIAN Mira yang berpendapat sekiranya kuasa besar Islam saling melindungi, pasti tidak ada negara Islam lain dijajah.

“Sebenarnya kuasa negara-negara Islam di dunia ini sangat kuat seperti Qatar, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) dan Kuwait.

“Jika semua negara Islam ini bergabung, kekayaan mereka sahaja, masya-Allah,” tuturnya kagum.

Dia juga turut berpendapat negara Islam lain tidak akan dijajah sekiranya kuasa-kusa besar saling melindungi antara satu sama lain.

“Kalaulah mereka menjaga dan melindungi negara Islam lain, pasti tiada kuasa luar yang berani menjajah.

“Tahniah Qatar untuk usaha yang sangat besar. Memartabatkan dan memperkenalkan Islam dengan cara yang sangat bersahaja,” katanya lagi.

Bintang filem Sangkar itu juga turut memuji maskot rasmi Piala Dunia 2022 yang diberi nama La’eeb.

Semalam, acara pembukaan Piala Dunia Qatar 2022 di Stadium Al Bayt bermula gemilang termasuk bacaan ayat al-Quran yang dipetik dari surah al-Hujurat oleh Ghanim yang juga duta temasya tersebut.

Difahamkan, Ghanim merupakan pesakit Caudal regression syndrome (CRS) iaitu mengalami gangguan perkembangan pada bahagian bawah tubuh badan termasuk kecacatan punggung dan kaki.

Selain itu, acara pembukaan tersebut turut dimeriahkan dengan persembahan hebat lagu tema yang dinyanyikan bintang K-pop ternama, Jungkook daripada kumpulan BTS bersama penyanyi Qatar, Fahad Al-Kubaisi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI