fbpx
KEADAAN sesak namun lancar di saluran 6 di Pusat Pengundian DUN Indera Kayangan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Khoon Aik, di Kangar kelmarin.

Mana ‘hilangnya’ 5.4 juta pengundi?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGALA teki-teki sudah terjawab. Kuasa rakyat yang selama ini dilaung-laungkan juga sudah dikembalikan.

Hasilnya, rakyat membuat pilihan atas pelbagai pertimbangan. Ada yang cenderung memilih berdasarkan kemampuan calon, ada juga yang lebih yakin dengan jenama parti yang bertanding.

Diakhirnya, selepas melalui 14 hari berkempen dan satu hari untuk proses pengundian, tiada satupun gabungan yang berjaya membentuk kerajaan.

Berdasarkan pungutan kerusi yang dipertandingkan, Pakatan Harapan (PH) muncul ‘pemenang’ awal dengan 82 kerusi, diikuti Perikatan Nasional (PN) dengan 73 kerusi dan Barisan Nasional (BN) sekadar 30 kerusi.

Keputusan yang dicapai itu menepati ramalan awal penganalisis politik dan tinjauan ramai yang menjangkakan tiada gabungan mampu meraih majoriti mudah pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.

Namun, beberapa fakta menarik tetap menjadi persoalan. Ia banyak berkait tentang selera pengundi yang sehingga kini masih sukar diramal. Kehadiran kumpulan Undi18 pula cukup memberi kesan. Tiada siapa tahu apa yang diinginkan oleh golongan ini.

Sentimen kenegerian juga masih menebal. Lihat sahaja bagaimana Gabungan Parti Sarawak (GPS) menguasai kerusi-kerusi di negeri itu. Mereka menang 22 kerusi daripada 32 kerusi yang dipertandingkan.

Begitu juga dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Biarpun tidak secemerlang GPS, GRS yang menjalin kerjasama bersama Barisan Nasional (BN) mampu memperoleh 13 kerusi daripada 25 kerusi Parlimen.

Di Semenanjung pula, pola pengundian berdasarkan komposisi kaum dan kawasan sangat ketara. Kawasan bandar-bandar utama yang diduduki majoriti kaum Cina menjadi milik Pakatan Harapan (PH).

Paling cemerlang pastinya calon DAP.

Lihat sahaja bagaimana calon mereka, Wong Chen menang dengan majoriti 115,074 undi di Parlimen Subang. Gobind Singh Deo pula cukup selesa dengan majoriti 124,619 undi di Damansara.

Perikatan Nasional (PN) pula sangat konsisten di kawasan majoriti Melayu. Beberapa keputusan ‘ajaib’ turut dilakar calon PN terutamanya yang berdiri atas tiket Pas. Mereka menyapu bersih kesemua 14 kerusi Parlimen di Kelantan dan lapan kerusi di Terengganu.

Begitu juga dengan Kedah. PN selesa memenangi 13 dari 14 kerusi termasuk menumbangkan Tun Dr. Mahathir Mohamad di Langkawi, menewaskan Datuk Seri Mukhriz Mahathir di Jerlun dan menyingkirkan Datuk Seri Mahdzir Khalid di Padang Terap.

Siapa sebenarnya pengundi parti-parti ini? Adakah mereka pengundi atas pagar yang tidak memikirkan langsung soal siapa menang dan siapa kalah, ataupun mereka adalah ‘suara senyap’ yang inginkan perubahan.

Berdasarkan data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 20.8 juta pengundi layak membuang undi pada hari bersejarah kelmarin, namun jumlah yang hadir adalah 15.4 juta pengundi atau 73.89 peratus.

Ini bermakna, terdapat kira-kira 5.4 juta pengundi lain gagal menunaikan tanggungjawab masing-masing atas pelbagai sebab. Apa yang pasti, majoriti daripada mereka ini adalah pengundi Melayu. Ramai yang bertanya, mengapa mereka tidak mengundi?

POPULAR