fbpx

Jet pejuang Russia ‘intai’ kapal perang NATO

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR arkib menunjukkan tiga kapal SNMG1 berada dalam formasi ketika menjalani latihan di lokasi yang tidak didedahkan pada 13 Ogos 2007. – Wikimedia

BRUSSELS, BELGIUM – Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) menyatakan bahawa dua jet pejuang milik Russia melakukan penerbangan ‘tidak selamat dan tidak profesional’ ke arah beberapa kapal perang pakatan tentera itu yang sedang menjalani operasi rutin di Laut Baltic.

Komando maritim NATO berkata, kumpulan jet pejuang tersebut terbang pada ketinggian 91 meter dan jarak hanya 73 meter pagi Khamis lalu selepas juruterbang Kremlin gagal memberi respons kepada saluran komunikasi.

“Pada pagi 17 November, dua pesawat pejuang Russia melakukan penerbangan tidak selamat dan tidak profesional ke arah unit tentera Standing Nato Maritime Group 1 (SNMG1), yang sedang menjalani operasi rutin di Laut Baltic.

“NATO melihat pergerakan tersebut sebagai tidak selamat dan tidak profesional kerana ia dilakukan pada jarak berbahaya yang diaktifkan untuk latihan pertahanan udara selain disebabkan faktor ketinggian dan jarak yang dekat.

“Interaksi itu meningkatkan risiko tersalah kiraan, kesilapan dan kemalangan,” kata NATO menerusi satu kenyataan.

Tambah kenyataan tersebut, tentera NATO telah bertindak dengan penuh tanggungjawab mengikut undang-undang maritim.

“NATO akan bertindak dengan sebaik mungkin terhadap sebarang campur tangan dalam aktiviti kami di kawasan yang membahayakan keselamatan pesawat, kapal atau kru kami.

“Kami tidak menimbulkan konfrontasi dan tidak mencetuskan ancaman,” kata kenyataan tersebut.

Ketegangan antara perikatan tentera Barat dan Russia itu semakin meningkat minggu ini selepas satu peluru berpandu membunuh dua rakyat Poland selepas ia jatuh di sebuah kawasan perkampungan di negara itu.

Poland merupakan ahli NATO, dan sebarang serangan secara langsung ke atas ahli pakatan itu akan mencetuskan risiko bagi seluruh blok tentera tersebut ke dalam konfrontasi dengan Russia. 

NATO kemudian mendakwa misil tersebut berkemungkinan milik satu daripada roket pertahanan Ukraine namun, ia dinafikan Kiev yang sebaliknya menyalahkan Moscow sebagai pihak bertanggungjawab. – AFP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI