fbpx

Nancy Pelosi undur diri sebagai Speaker Dewan Perwakilan AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kakitangan Pelosi memberi tepukan kepada beliau selepas pengumuman pengundurannya di bangunan Capitol Hill di Washington, kelmarin. – New York Times

WASHINGTON – Tokoh wanita dalam politik Amerika Syarikat (AS) dan wanita pertama yang mengetuai Dewan Perwakilan, Nancy Pelosi mengumumkan pengundurannya daripada jawatan tertinggi itu bagi memberi laluan kepada generasi baharu, lapor akhbar The Guardian kelmarin.

Wanita berusia 82 tahun yang merupakan sekutu kuat Presiden Joe Biden itu menge­tuai wakil rakyat Demokrat di Dewan Perwakilan  selama dua dekad. 

Pengumuman itu dibuat ketika Parti Republikan memperoleh semula majoriti dalam dewan tersebut.

“Dengan penuh keyakinan, saya tidak akan diundi semula dalam kepimpinan Demokrat pada Kongres akan datang.

“Bagi saya, masanya telah tiba untuk generasi baharu memimpin kaukus Demokrat yang amat disayangi dan dihormati. Saya juga bersyukur kerana ramai yang bersedia dan sanggup memikul tanggungjawab yang hebat ini,” ujar beliau dalam ucapan di Dewan Perwakilan kelmarin. 

Ucapan Speaker Dewan Perwakilan itu disambut dengan tepukan gemuruh.

Dalam suasana penuh emosi, wakil-wakil rakyat  Parti Demokrat berkumpul di sekeliling Pelosi dengan ada yang menangis, memeluk dan mencium pipinya.

Sementara itu, Presiden Joe Biden turut meluahkan penghargaan kepada Pelosi dengan mengeluarkan kenyataan  menyifatkan pemimpin wanita berkenaan sebagai speaker Dewan Perwakilan paling penting dalam sejarah negara.

“Dalam semua yang dilakukan, beliau mencerminkan maruah dalam tindakannya dan maruah yang beliau lihat dalam kehidupan rakyat negara ini,” kata Biden.

Pelosi ialah wakil rakyat dari negeri California. Beliau merupakan ahli politik wanita yang diundi berpangkat paling tinggi serta paling berkuasa dalam sejarah AS sehingga Kamala Harris dipilih menjadi Naib Presiden AS pada Januari tahun lalu.

Beliau menjadi Speaker Dewan Perwakilan dari 2007 hingga 2011 dan kembali kepada jawatan tertinggi itu pada 2019. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI