fbpx

Tanda aras penting dalam kebenaran dan keadilan – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ISMAIL Sabri Yaakob (dua dari kiri) beramah mesra dengan orang ramai pada program ramah mesra bersama warga Bandar 32 di Bera hari ini.

BERA – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan Mahkamah The Haque di Belanda yang memutuskan tiga individu didapati bersalah dalam kes menembak jatuh pesawat MH17 lapan tahun lalu menjadi tanda aras penting dalam mencari kebenaran serta menegakkan keadilan kepada semua mangsa terlibat.

Beliau berkata, Malaysia menyokong keputusan yang dibuat oleh Mahkamah The Haque yang telah menegakkan keadilan kepada semua 298 mangsa termasuk 43 rakyat Malaysia yang terkorban dalam tragedi penerbangan tersebut serta kepada semua waris mangsa.

“Malaysia juga berpuas hati terhadap proses penghakiman yang boleh dipercayai dan telus dilaksanakan dalam sistem perundangan Belanda, berdasarkan kedaulatan undang-undang demi mendapatkan keadilan yang telah lama dinanti-nantikan.

“Malaysia sentiasa berpendirian bahawa perbicaraan yang dijalankan mestilah berlandaskan kepada kebenaran, keadilan serta penuh tanggungjawab” katanya dalam sidang akhbar pada program ramah mesra bersama warga Bandar 32 di sini hari ini.

Semalam Mahkamah Daerah The Haque menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas dua warga Rusia dan seorang warga Ukraine selepas didapati bersalah menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines MH17 pada 2014.

Dua warga Rusia iaitu Igor Girkin dan Sergei Dubinsky serta warga Ukraine, Leonid Kharchenko turut didakwa menyebabkan semua 298 penumpang dan kru pesawat berkenaan terbunuh.

MH17 ditembak menggunakan peluru berpandu BUK Telar ketika pesawat berkenaan terbang melewati kawasan dilanda konflik di timur Ukraine pada 17 Julai 2014.

Menurut Ismail Sabri, mewakili semua pihak yang terkesan akibat peristiwa ini, Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada ahli-ahli Pasukan Penyiasat Bersama yang terdiri daripada Belanda, Australia, Belgium dan Ukraine yang telah bertungkus-lumus bersama-sama menjalankan siasatan jenayah antarabangsa terhadap tragedi MH17 ini.

“Malaysia sekali lagi ingin menzahirkan rasa simpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga dan waris mangsa tragedi pesawat MH17.

“Walaupun tiada apa yang dapat mengembalikan nyawa mereka mahupun mengurangkan kesedihan dan penderitaan yang dialami oleh keluarga dan orang tersayang, keputusan mahkamah diharap sedikit sebanyak dapat memberi kelegaan dan ketenangan kepada keluarga dan waris kepada mangsa yang terbunuh dalam tragedi ini,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI