fbpx

Fitnah dosa besar tidak dapat ditebus – Mufti P. Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan Salim

GEORGE TOWN – Calon yang mewakili parti-parti politik pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini diseru agar tidak terpesong dalam setiap bait ucapan sekali gus mengelak daripada mengaibkan peribadi lawan.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, setiap muslim mestilah menghindari perbuatan memfitnah terhadap mana-mana individu dengan seberapa daya yang mungkin.

Menurutnya, calon juga dinasihatkan jangan sesekali menjatuhkan imej peribadi lawan sehingga membuat pelbagai tuduhan liar tanpa bersandarkan kepada bukti.

“Dalam kempen PRU15 ini, para politikus sepatutnya lebih memberi fokus kepada rancangan-rancangan yang bermanfaat kepada rakyat dan pembangunan negara.

“Di dalam Islam juga, memfitnah antara perbuatan paling besar dosanya sehingga di dalam sebuah hadis yang dikeluarkan oleh Imam Ahmad Bin Hanbal ia termasuk di dalam lima perbuatan yang tidak dapat ditebus,” katanya kepada Kosmo! di sini.

Lima perbuatan yang ditentang adalah syirik kepada Allah, membunuh tanpa hak yang diizinkan oleh syarak, memfitnah orang beriman, lari dari medan perang dan sumpah bohong.

“Hukum berdosa yang besar ini juga difahami apabila Allah SWT menggandingkan fitnah dengan penyembahan berhala seperti yang tersebut di dalam al-Quran, surah al-Hajj: 30 dan di beberapa ayat yang lain.

“Begitu juga di dalam sebuah hadis masyhur yang memerintahkan orang Islam menghindari tujuh perbuatan dosa yang membinasakan, salah satunya adalah memfitnah atau menuduh orang yang beriman melakukan perbuatan keji.

“Oleh yang demikian, setiap muslim mestilah menghindari perbuatan memfitnah terhadap mana-mana individu dengan seberapa daya yang mungkin,” ujarnya.

Di samping itu, beliau mengingatkan perbuatan tersebut adalah kezaliman yang mampu menggugat kestabilan masyarakat dengan mencetus perbalahan dan persengketaan sekali gus meruntuhkan tamadun bangsa.

“Suka mengingatkan bahawa agama Islam menuntut umatnya supaya tidak mendedahkan aib saudaranya kepada umum,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI