fbpx
OSMAN mampu menyiapkan lebih 15 buah bubu pelbagai saiz pada setiap bulan sebelum dijual kepada pelanggan.

Warisan bubu rotan, kerja kreatif Orang Asli Temiar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEJAK usia remaja, Osman Angah, 54, berketurunan Orang Asli suku kaum Temiar yang tinggal di Pos Tohoi, Gua Musang, Kelantan sangat suka melihat bapanya membuat bubu rotan dan buluh.

Meskipun sering dimarahi oleh bapanya kerana dianggap mengganggu kerja orang tua-tua, namun minat dan rasa ingin belajar membuat bubu menyebabkan dia akhirnya mewarisi bakat tersebut.

Bubu merupakan sejenis alat tradisional untuk menangkap ikan yang termasuk dalam kumpulan perangkap.

Ia seperti bakul yang membolehkan ikan masuk ke dalamnya, namun terhalang untuk keluar.

Menceritakan proses membuat bubu, Osman memberitahu, bagi menghasilkan sebuah bubu, ia bermula dengan mencari rotan dan buluh di dalam hutan.

Katanya, buluh dan rotan kemudiannya dibelah, diraut dan seterusnya dijemur selama dua hingga tiga hari.

“Saya boleh menyiapkan lebih 15 buah bubu pelbagai saiz dalam tempoh sebulan mengikut permintaan pelanggan.

“Harga bubu ini dijual dengan harga berpatutan antara RM30 sehingga RM70 setiap satu,” katanya.

BUBU rotan dan buluh dijual pada harga antara RM30 hingga RM70 setiap satu.

Osman memaklumkan, bukan mudah untuk menghasilkan bubu kerana ia membabitkan kerja tangan kreatif serta memerlukan kemahiran tinggi.

Katanya, bubu yang dihasilkan daripada anyaman rotan dan buluh masih mendapat sambutan dan menerima permintaan tinggi dalam kalangan orang ramai.

“Bubu yang dihasilkan daripada rotan dan buluh bukanlah asing bagi masyarakat Orang Asli.

“Ia sering digunakan sebagai alat untuk menangkap ikan di sungai.

“Pelancong atau orang luar yang datang ke Pos Tohoi juga berpeluang membeli hasil kerja tangan saya untuk dijadikan perhiasan atau kegunaan masing-masing,” katanya.

Ujar Osman lagi, golongan muda dilihat kurang berminat untuk belajar membuat bubu serta kraf tangan lain.

Bubu yang diperbuat daripada rotan dan buluh boleh digunakan selama lebih tiga tahun.

Katanya, ramai anak muda Orang Asli memilih untuk bekerja di ladang dan tidak berminat dengan kerja seni.

“Saya berharap generasi muda Orang Asli tidak melupakan salah satu peralatan tradisi menangkap ikan ini.

“Sejak dahulu bubu memang menjadi salah satu peralatan menangkap ikan bagi penduduk kampung di anak sungai berdekatan,” katanya.

Tambahnya, bubu yang dihasilkannya itu dapat memuatkan antara tiga hingga 20 ekor ikan sungai pelbagai saiz.

Sementara itu, Penghulu Pos Tohoi, Zainal Chali berkata, bubu masih merupakan salah satu alat penting bagi menangkap ikan, selain pukat dan jala.

Katanya, bubu diperbuat daripada rotan dan buluh sangat kukuh serta boleh digunakan selama tiga tahun.

“Kami berharap agar kemahiran ataupun pengetahuan membuat bubu ini dapat diwarisi oleh anak dan cucu-cicit, walaupun dunia semakin moden.

“Kami juga berharap agar kerajaan dapat mengawal penerokaan hutan demi melindungi sumber rotan dan buluh yang merupakan bahan utama membuat bubu,” katanya.

ZAINAL CHALI

Seorang penduduk kampung, John Ajang, 49, berkata, dia sering menggunakan bubu kerana lebih mudah dibawa ke sungai.

Dia memaklumkan, biasanya bubu diletakkan di kawasan lubuk ikan berkumpul.

“Kami akan meletak umpan seperti isi kelapa atau cacing tanah untuk menarik perhatian ikan masuk ke dalam bubu.

“Tempat bubu perlu ditanda bagi memudahkan saya mengecam kedudukannya,” katanya.

Seorang lagi rakannya, Kamarul Aloi, 47, berkata, bubu akan diletakkan di sungai selama semalaman hingga tiga hari sebelum ditarik naik untuk mengambil hasil tangkapan.

“Di bahagian hadapan bubu dibuat satu pintu masuk yang dipanggil injap berbentuk seperti kon. Injap ini membenarkan ikan masuk tetapi menghalangnya keluar. Satu lagi pintu di bahagian belakang bagi mengeluarkan ikan yang terperangkap,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN