fbpx

Persekitaran toksik, Diana Danielle tepis rasa negatif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DIANA DANIELLE

SEJAK berpeluang mewakili Malaysia sempena kolaborasi bersama penyanyi antarabangsa, Calum Scott berjudul Heaven sekitar Jun lalu, karier nyanyian aktres Diana Danielle semakin melebar.

Kemaraannya dalam bidang nyanyian semakin menyerlah apabila kini tampil dengan sebuah single baharu berjudul Shine On.

Menariknya, lagu tersebut dihasilkan dalam bahasa Inggeris yang membawa pesan tentang pemerkasaan diri dalam mengatasi keraguan dan menepis segala rasa negatif.

Kata Diana, dia mengambil inspirasi tentang pengalaman peribadinya serta kisah-kisah orang sekeliling yang bersangkutan.

Intipatinya tentang perasaan meragui harga diri masing-masing hanya kerana tanggapan orang lain atau keadaan sekeliling.

LAGU Shine On diinspirasikan daripada pengalaman peribadi Diana dalam mendepani perasaan ragu-ragu terhadap diri sendiri akibat tanggapan orang lain.

Keyakinan diri

“Kita semua pernah berada di situ. Sama ada di sekolah, kerja ataupun perhubungan peribadi apabila timbulnya perasaan seolah-olah kita tidak tahu apa yang terbaik untuk diri sendiri.

“Ataupun kita rasa apa yang dilakukan tidak mencukupi. Ini satu senario yang kita semua selalu hadapi setiap hari,” katanya.

Menerusi Shine On ujar pemilik nama lengkap Diana Danielle Danny Beeson itu, dia mahu menebarkan pesanan positif kepada pendengar.

Pesannya, tidak perlu merendahkan keyakinan diri untuk membuatkan orang lain berasa selesa kerana dia percaya, ada kuasa tersendiri dalam menjadi seorang individu.

Seperti sebaris lirik yang berbunyi ‘catching up with my better self, no one’s holding you back but yourself’ mempunyai erti cukup mendalam untuk mendepani cabaran.

Mengikuti kata hati sendiri, tiada siapa yang menghalang kecuali diri sendiri. Demikian maksud lirik tersebut yang menegaskan tentang betapa pentingnya mendengar naluri sendiri berbanding memikirkan pandangan orang lain.

Malah sebaris lirik tersebut turut membantu membentuk video muzik lagu Shine On dengan menunjukkan perbezaan ketika seseorang berada di satu tempat yang suram berbanding saat semuanya beransur pulih.

Video muzik Shine On sudah pun dilancarkan menerusi YouTube Diana Danielle sejak 11 November lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI