PERTAMA kali menonton pertarungan gusti di televisyen, Ayez Shaukat Fonseka Farid ketika itu baru berusia empat tahun.
Bagaikan cinta pandang pertama, sejak dari itu, dia mula meminati gusti dan sering menonton rancangan tersebut bersama bapa serta adik-beradiknya yang lain.
“Sejak dari kecil saya sudah obses dengan gusti setelah melihat penggusti seperti The Rock, Stone Cold dan The Undertaker bertarung di atas gelanggang.
“Idola saya dalam arena gusti adalah The Undertaker dan sehingga kini saya masih mengidolakannya,” kata Ayez Shaukat, 34, kepada K2.
Imbas lelaki berketurunan campuran Melayu dan Serani itu, semakin meningkat dewasa, dia mempunyai keinginan mendalami ilmu berkaitan gusti dan bergelar penggusti, tetapi tidak berpeluang kerana tiada kelas atau akademi sedemikian di Malaysia.
Ketika itu dia hanya menyertai kelas muaythai dan juga seni bela diri campuran (MMA), selain turut menjadi pelakon lagak ngeri bagi industri filem.
Dalam masa sama keinginan untuk pelajari gusti tetap membuak-buak di hatinya.
“Pada tahun 2013, saya telah mengambil satu keputusan nekad. Dengan simpanan yang ada, saya telah terbang ke Florida, Amerika Syarikat (AS) bagi mendalami ilmu tentang gusti.
“Sepatutnya untuk belajar tentang gusti ini, masa yang diperlukan selama enam bulan, tetapi saya hanya sempat belajar selama tiga minggu,” jelasnya.
Tambahnya, kerana kadar tukaran mata wang yang tidak berapa baik ketika itu sekali gus kos sara hidup di sana menjadi mahal, dia tidak boleh lama di sana dan perlu pulang ke tanah air.
Ayez Shaukat berkata, tidak banyak ilmu yang dia timba sepanjang tiga minggu berada di sana dan sempat belajar tentang asas gusti sahaja.
Namun, apabila pulang ke tanah air, dia kemudiannya telah menghubungi Dr. Tom Prichard, jurulatih legenda untuk World Wrestling Entertainment (WWE), yang telah melatih banyak ahli gusti terkemuka.
“Dia telah beri silibus kepada saya untuk saya belajar sendiri dan kemudian saya akan menghantar video latihan kepadanya untuk diulas dan dinilai.
“Saya tekad untuk belajar kerana ingin menjadi ahli gusti profesional sepenuh masa dan dalam masa sama ingin membuka sebuah akademi gusti di Malaysia,” terangnya.
Tambahnya, pada tahun 2014 dia telah memenangi pertandingan gusti di Malaysia yang dianjurkan oleh sebuah syarikat penyiaran tempatan.
Sejak dari itu, Ayez Shaukat tidak lagi menoleh ke belakang dan namanya terus dikenali sebagai penggusti di Malaysia.

Malah, dia turut mencipta nama di beberapa negara dalam arena gusti.
Dia pernah menyertai Singapore Professional Wrestling (SPW), Philippine Wrestling Revolution (PWR), Manila Wrestling Federation (MWF) dan Hong Kong Wrestling Federation (HKWF).
Pencapaian yang boleh dibanggakannya adalah apabila berjaya memegang kejuaraan Malaysia, Singapura dan Hong Kong.
Selain itu, apa yang lebih manis buat Ayez Shaukat apabila bergelar ahli gusti profesional dan dilamar oleh syarikat produksi di AS untuk terbabit dalam episod Reality of Wrestling.
“Berpeluang untuk terbabit dalam arena gusti di AS adalah satu kenangan manis yang tidak dapat saya lupakan.
“Saya menjadi orang Malaysia pertama yang keluar dalam rancangan gusti di negara tersebut,” katanya.
Di gelanggang-gelanggang gusti, Ayez Shaukat sering menampilkan ciri Malaysia pada identitinya. Dia bertengkolok dan memakai pakaian bercorak songket pada penampilannya.
“Saya membawa imej Melayu Nusantara kerana dalam media dunia arus perdana, budaya ini tidak pernah diketengahkan, secara tak langsung ia menjadi unik dan menarik perhatian.
“Saya memilih untuk membawa naik budaya Melayu di mata dunia kerana tiada representasi kaum Melayu di Hollywood. Di sana, orang kenal Cina, India, Korea, Jepun, Siam, Filipina dan Vietnam, tetapi Melayu belum pernah ada lagi.
“Saya berasa bangga dengan penerimaan positif di sana terutama kanak-kanak yang kagum dan terpesona dengan rupa yang saya bawa. Bagi dewasa pula, mereka lihat saya seperti sesuatu yang mistik dan tidak diketahui asal usul sekali gus menimbulkan rasa ingin tahu serta misteri,” katanya.
Sementara itu, Ayez Shaukat menjelaskan, bagi memperkenalkan gusti di Malaysia secara lebih mendalam, dia sendiri telah menubuhkan APAC Wrestling yang merupakan akademi gusti dan penganjur rancangan gusti di negara ini.
“Sebagai contoh, pada 10 dan 11 Disember ini, APAC Wrestling dengan kerjasama beberapa pihak lagi akan menganjurkan satu persembahan gusti profesional di Malaysia.
“Bagi persembahan kali ini ia turut disertai sembilan penggusti profesional dari Jepun, Australia, Singapura dan Thailand,” terangnya.
Malah, dalam persembahan tersebut Ayez Shaukat sendiri akan bertarung dengan bekas bintang gusti WWE yang berasal dari Jepun iaitu Tajiri.
Dalam pada itu, mengulas tentang gusti, Ayez Shaukat berkata, ramai orang terkeliru dengan pertarungan di gelanggang gusti.
Menurutnya, gusti sebenarnya adalah satu bentuk persembahan yang mempunyai skrip penceritaan.
“Tugas penggusti profesional adalah untuk merealisasikan skrip yang telah ditulis itu supaya kelihatan menarik untuk tontotan penonton.
“Menang atau kalah tidak penting buat penggusti, apa yang penting adalah untuk membuat penonton beremosi apabila melihat pertarungan tersebut,” jelasnya.
Sementara itu, Ayez Shaukat berkata, kecederaan merupakan satu lumrah buat penggusti profesional kerana gusti adalah satu bentuk hiburan yang berisiko tinggi.
Bahkan, sepanjang terlibat dalam bidang itu, dia sendiri pernah mengalami gegaran otak sebanyak dua kali dan lutut kirinya pernah tercabut sebanyak 12 kali.
Ayez Shaukat menjelaskan, apabila memilih untuk menjadi penggusti profesional, kebanyakan rutin hariannya dihabiskan di gimnasium.
“Sebagai penggusti untuk nampak gah, seseorang itu perlu miliki visual otot yang menarik, selain itu otot juga penting untuk kita mengurangkan impak apabila dihempas atau dipukul menggunakan kerusi besi,” katanya.
Mengulas tentang perancangan masa depan, Ayez Shaukat berkata, dia ingin merealisasikan impiannya bergiat aktif dalam arena gusti di AS.
Menurutnya, kini ada beberapa syarikat telah merisiknya untuk membuat penampilan di AS.
“Ada tawaran yang saya terima untuk beraksi di sana, tetapi saya perlu menaikkan berat saya hingga 100kg terlebih dahulu.
“Saya dalam proses menambah berat badan dan jika ada rezeki, saya akan ke sana,” jelasnya.














