fbpx
Annuar (tengah) bergambar bersama 93 pelajar sekolah yang menerima tablet PerantiSiswa di SMTAR Selekoh, Bagan Datuk, hari ini.

PRU15: Pemimpin digugurkan perlu bantu calon BN – Annuar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK – Penyandang kerusi Barisan Nasional (BN) yang digugurkan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) harus memikirkan masa depan parti dengan turut melakukan sumbangan ke arah kemenangan parti itu dalam PRU15.

Bekas Setiausaha Agung UMNO dan BN, Tan Sri Annuar Musa berharap mereka yang terlibat tidak memperbesarkan perkara yang sudah berlaku itu dan sekarang adalah masa untuk membantu kemenangan calon BN.

“(Perkara) yang lepas itu lepaslah, kita sebagai orang beriman harus percaya kepada qada dan qadar, kita tidak boleh putus asa.

“Ia kerana membina memerlukan masa yang lama, untuk merosakkan hanya perlu sehari sahaja; Membina memerlukan muafakat yang ramai, mahu merosakkan cukuplah seorang sahaja,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan tablet PerantiSiswa kepada 93 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Abdul Razak (SMTAR) dan SMK Khir Johari, di SMTAR, Selekoh di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan ada penyandang kerusi BN yang digugurkan tidak membantu kempen calon yang menggantikannya dan ada yang membuat kenyataan mempertikaikan penggugurannya dalam PRU15.

Annuar yang menjadi wakil rakyat bermula dengan Ahli Dewan Undangan Negeri dan Ahli Parlimen sejak 1986, adalah antara beberapa nama besar yang digugurkan oleh BN dalam PRU15 ini.

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Kelantan, Marzuani Ardila Ariffin dicalonkan di Parlimen Ketereh bagi menggantikan Annuar yang menyandang kerusi itu sejak 1995.

Menurut Annuar, pemimpin yang digugurkan itu mesti menjaga muafakat yang ramai dengan memberi apa sahaja sumbangan yang patut untuk memastikan kemenangan calon BN. – KOSMO! ONLINE

POPULAR