fbpx

Kuala Lumpur mendewasakan YHB Sleepsalot

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEHADIRAN bintang muda dari Singapura ini semakin disedari kerana corak lagu rap yang dinyanyikannya memiliki kekuatan dan keistimewaan tersendiri.

PEMBUKAAN kembali sempadan negara selepas fasa peralihan endemik beberapa bulan lalu cukup melegakan ramai terutama bagi warga tempatan yang menetap di luar.

Kerinduan sama turut dirasai penyanyi rap dari negara jiran Singapura, YHB Sleepsalot yang sudah lama tidak bertandang ke Malaysia gara-gara pandemik.

Keterujaannya dapat kembali ke sini secara tiba-tiba mencetuskan inspirasi menghasilkan sebuah lagu berjudul Tukar Currency.

Lucunya, idea tersebut muncul kerana memorinya ketika berada di Malaysia terimbau sewaktu dia menukar wang di sebuah pusat perkhidmatan pertukaran mata wang.

YHB Sleepsalot mula mencintai muzik sejak berusia 13 tahun dan melancarkan lagu sendiri pada umur 16 tahun.

“Sewaktu pergi menukar wang, serta-merta mengembalikan semula kenangan ketika berada di Malaysia.

“Rasanya agak pelik tetapi pada masa sama mengingatkan saya betapa pentingnya melawat Kuala Lumpur.

“Ada saja berlaku pertukaran budaya dan idea. Benar-benar membuatkan saya terinspirasi,” katanya.

Dekat tapi asing

Menjelaskan lanjut tentang single tersebut, Tukar Currency menyaksikan kerjasama YHB Sleepsalot dengan SonaOne dan anggota FORCEPARKBOIS, Nakalness.

Lagu tersebut menggunakan rentak ‘breezy trap’ yang dicipta RIIDEM dan dia turut merakam perjalanannya dengan menyelitkan metafora berkisar kemewahan, kesungguhan dan kuasa.

Sejak mula berkarya dalam dunia muzik, anak muda itu juga menyedari populariti yang diraihnya dari luar negara kelahiran sendiri.

Meskipun akuinya, dia berasa agak asing dengan situasi tersebut kerana ketika itu dia baru pertama kali berjinak-jinak dalam bidang penulisan lirik.

Tetapi tuah menyebelahi apabila YHB Sleepsalot berjaya menambat minat dan perhatian peminat di negara ini yang menyukai corak rap nyanyiannya.

IDEA menghasilkan Tukar Currency muncul ketika penyanyi muda ini menukar wang di kedai perkhidmatan penukaran mata wang asing.

“Kuala Lumpur beri saya peluang untuk menjadi dewasa dan berkembang sebagai individu dan pemuzik,” katanya.

Malah peluang bersua dengan himpunan artis hebat turut membuatkan semangatnya lebih berkobar-kobar menjalani tahun ini berbekalkan perspektif baharu.

Justeru menurut penyanyi itu, pelancaran Tukar Currency melambangkan ikatan istimewa antara dua buah negara.

“Negara kita sudah ibarat bersaudara. Tidak kiralah dalam kalangan rakyat mahupun makanan dan budaya.

“Begitu indah melihat persamaan atau perbezaan yang kita ada. Sekarang saya cuma ingin terus hasilkan lebih banyak muzik dan bekerjasama dengan pengkarya dari luar negara,” tuturnya.

Lagu Tukar Currency boleh didengari menerusi semua platform penstriman dan YouTube YHB Sleepsalot.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI