PADA usia lima tahun, seorang kanak-kanak lelaki autisme terus melakar sejarah tersendiri apabila menjadi individu autistik termuda yang mengadakan pameran seni digital secara solo dan kejayaan tersebut tercatat dalam Malaysia Book of Records (MBOR).
K. Rashwin yang menghidap Autisme Spectrum Disorder mengadakan pameran karya seni visualnya di galeri seni digital, Digital Art Gallery By Filamen di Kedai KL, Mahsa Avenue, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini yang dihadiri ribuan pengunjung.
Anak bongsu daripada dua beradik itu menghasilkan lukisan menggunakan aplikasi Android dengan rekaan berbeza termasuk motif berbintik dan juga garisan.
Karya terbaik seni visualnya dihantar kepada pihak Filamen yang kemudiannya dipertontonkan dalam sebuah pameran seni The World Through His Eye: An Immersive Visual Experience yang berlangsung selama sebulan pada Jun hingga Julai lalu.
Pihak penganjur pameran tersebut menerusi satu kenyataan pada poster pameran menyatakan minat kanak-kanak itu melukis seni digital menerusi aplikasi telefon bimbit sejak usianya tiga tahun telah menyebabkan mereka berminat untuk mempersembahkan kerja-kerja seninya sama ada secara maya atau fizikal sempena Hari Kesedaran Austime baru-baru ini.
“Dia adalah bintang kita yang sedang bersinar dan dia telah secara tidak langsung mengubah kehidupan ramai anak-anak autistik yang lain menerusi perjalanan hidupnya,” kata kenyataan itu.

Pengiktirafan MBOR itu berlangsung pada bulan ini dan disampaikan oleh Pengarah Eksekutif (Perancangan) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Sulaiman Mohamed dan wakil-wakil MBOR dalam satu program di Kuala Lumpur yang turut mempamerkan karya seni digital anak berbakat luar biasa itu.
Jika diperhatikan, hasil seni visual yang dihasilkan Rashwin cukup menarik serta tidak langsung menggambarkan bahawa ‘pelukisnya’ merupakan seorang kanak-kanak.
Kanak-kanak serba boleh ini hakikatnya bukanlah kali pertama mencetak nama dalam buku MBOR kerana tahun lalu, nama Rashwin tular setelah berjaya mencipta rekod MBOR mengenal pasti bendera 198 negara dalam tempoh kurang 10 minit.
Menurut bapa kepada kanak-kanak berbakat tersebut, S. Kalithas, 41, Rashwin amat meminati seni visual sejak berusia tiga tahun.
“Rashwin mempunyai minat yang mendalam terhadap penghasilan seni lukisan visual, lebih-lebih lagi terhadap warna-warna yang terang.
“Dia gemar menghasilkan seni seperti motif bergaris, bintik-bintik dan galaksi menerusi aplikasi mudah alih di gajet tablet yang juga membolehkan berlakunya pergerakan animasi.
“Sebagai seorang anak autisme, dia cukup gembira apabila melakukan aktiviti ini,” ujarnya kepada K2.
Kalithas berterima kasih kepada pihak-pihak yang mempercayai bakat anak autistiknya itu sehingga sudi mempersembahkan karya-karya seninya dalam pameran.

Berbicara mengenai kebolehan istimewa anaknya secara keseluruhan, Rashwin bukan saja meminati seni bahkan mempunyai daya ingatan dan perbendaharaan kata yang mengagumkan, melebihi tahap kanak-kanak seusianya.
Rashwin mampu mengingati gambar dengan jelas memandangkan dia miliki photographic memory yang baik.
“Daya ingatan Rashwin membolehkan dia menamakan benda-benda di sekelilingnya selain menghafal nama-nama dan juga arah.
“Justeru, ingatannya itu menjadikan dia pertama kalinya mencipta rekod MBOR pada tahun lalu apabila mampu menamakan bendera 198 buah negara dalam masa kurang sepuluh minit,” ujarnya.
Mengimbau saat pertama kali menerima berita anaknya itu menghidap autisme, Kalithas berkata, dia pada mulanya sukar mempercayai anaknya itu mempunyai masalah itu.
Isteri Kalithas, B. Krishnayani, 37, kemudian mencadangkan untuk membawa anak mereka berjumpa pakar perkembangan kanak-kanak bagi melakukan pemeriksaan.
“Rashwin dilahirkan pramatang dengan berat 1.2 kilogram. Ketika dia berusia 20 bulan, isteri saya mula perasan Rashwin tidak boleh meniarap seperti kanak-kanak lain selain gemar merenung objek berputar seperti kipas dan roda kenderaan,” katanya.
Biarpun pada mulanya dia berada dalam fasa penafian, namun Kalithas dan isteri kini boleh menerima keadaan anak kedua mereka itu sepenuhnya.
Kongsinya lagi, antara cabaran membesarkan seorang anak autisme adalah untuk ‘lari’ daripada tanggapan bahawa keadaan itu perlu dirawat.
“Saya dan isteri bersyukur kerana kami sudah boleh menerima dan meraikan kondisi anak yang merupakan seorang penghidap autisme.
“Namun jika saya boleh kongsikan, sebelum ini, proses penerimaan itu agak mencabar mungkin kerana autisme masih dianggap sebagai satu penyakit oleh segelintir masyarakat.
“Kurang berkomunikasi dan masalah pergaulan berlaku dalam kes kanak-kanak autisme, namun pertolongan ibu bapa dan pihak profesional secara kerap boleh membantu menambah baik keadaan anak,” katanya.
Sebagai bapa, Kalithas berharap perjalanan Rashwin akan terus memberi inspirasi kepada anak-anak autisme lain.














