fbpx

Pengundi positif Covid-19 wajib pakai pelitup muka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Noor Hisham

PUTRAJAYA – Semua pengundi yang positif Covid-19 diwajibkan memakai pelitup muka dan tidak dibenarkan menaiki pengangkutan awam termasuk e-hailing pada hari pengundian Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Sabtu ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, orang ramai dinasihatkan mengikuti saranan kesihatan bagi memastikan proses pengundian dapat berjalan dengan selamat sekaligus mengurangkan risiko penularan jangkitan Covid-19.

Katanya, pengundi yang positif Covid-19 wajib memakai pelitup muka, manakala pemakaian pelitup muka bagi pengundi lain adalah amat digalakkan.

“Pengundi yang positif Covid-19 tidak dibenarkan menaiki kenderaan awam termasuk e-hailing serta singgah di mana-mana sebelum dan selepas mengundi selain perlu pulang segera selepas selesai mengundi.

“Pengundi positif Covid-19 perlu mematuhi penjarakkan fizikal yang selamat manakala penjarakkan fizikal bagi pengundi lain amat digalakkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr. Noor Hisham berkata, semua pengundi dan petugas juga disarankan menggunakan pensanitasi tangan yang disediakan di tempat mengundi atau membawa pensanitasi tangan sendiri.

Bagi individu yang belum menerima dos penggalak vaksin Covid-19 dinasihatkan agar segera mendaftar dan mendapatkan vaksin bagi melindungi diri dan orang sekeliling.

“Kita semua mempunyai peranan mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 kepada pengundi lain dan petugas di pusat mengundi sepanjang PRU15,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Noor Hisham berkata, Malaysia merekodkan penurunan kes positif Covid-19 dengan mencatatkan sebanyak 2,234 kes, berbanding kelmarin 2,882 kes sekali gus diatasi 3,836 kes sembuh.

Katanya, pesakit diwadkan pula adalah seramai 585 orang berbanding kelmarin, 570 orang.

“Kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) semalam merekodkan sebanyak 91 kes berbanding jumlah kelmarin, 84 kes,” katanya.

Tambah beliau, terdapat dua kes kematian berbanding jumlah kelmarin, sembilan kes sekali gus menjadikan jumlah terkini sebanyak 36,548 kes.

“Manakala, tiada kes kematian yang dibawa ke hospital (BID) dilaporkan sekaligus menjadikan jumlah terkumpul sebanyak 7,776 kes,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI