fbpx

Mahkamah: Pendengaran rayuan Peter Anthony ditetapkan 27 Januari 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Peter Anthony.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 27 Januari tahun depan bagi mendengar rayuan bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony terhadap sabitan dan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000 yang dikenakan terhadapnya atas kesalahan menggunakan dokumen palsu.

Peguam S.Devanandan yang mewakili Peter ketika dihubungi berkata tarikh itu ditetapkan mahkamah semasa pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Nurul Ain Hamzah hari ini.

“Pendengaran permohonan itu akan berlangsung secara fizikal di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah. Pihak- pihak diminta untuk memfailkan hujahan bertulis pada atau sebelum 13 Januari 2023,” kata peguam itu.

Dalam prosiding hari ini pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Haresh Prakash Somiah.

Mengikut pertuduhan, Peter, 51, sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Engineering Sdn. Bhd., didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor UMS bertarikh 9 Jun 2014, dengan memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan untuk tujuan menipu.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun dan 21 Ogos 2014.

Pada 26 Mei lalu, Peter dipenjara tiga tahun dan denda RM50,000 di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan memalsukan surat berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan Sistem Mekanikal dan Elektrik (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS) tujuh tahun lalu.

Hakim Azura Alwi menjatuhkan hukuman penjara dan denda itu selepas mendapati Peter, 51, bersalah atas pertuduhan tersebut selain tertuduh gagal menimbulkan keraguan yang munasabah diakhir kes pembelaanya.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara itu bermula hari ini dan sekiranya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malalap gagal membayar jumlah denda itu dia boleh dipenjara lagi selama 15 bulan.

Dalam alasan penghakiman ringkasnya, Hakim Azura berkata tiada asas untuk meragui keterangan saksi-saksi pendakwaan dan tiada bukti bahawa pertuduhan terhadap tertuduh adalah berasaskan politik seperti yang dikemukakan oleh pihak pembelaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI