fbpx

Lelaki menetap di lapangan terbang 18 tahun meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar dirakam pada 4 Ogos 2004 menunjukkan Mehran sedang duduk di satu sudut di lapangan terbang bersama barangan miliknya. – AFP

PARIS – Seorang lelaki Iran yang menjadi perhatian seluruh dunia kerana menetap di sebuah lapangan terbang di Paris selama 18 tahun,  dilaporkan meninggal dunia, demikian menurut  Badan Penyiaran Britain (BBC) semalam.

Mehran Karimi Nasseri  menjadikan sebahagian kecil kawasan di Lapangan Terbang Roissy Charles de Gaulle sebagai kediamannya sejak 1988 hingga 2006.

Kisah hidupnya menjadi inspirasi pengarah Hollywood, Stephen Spielberg untuk menghasilkan filem bertajuk The Terminal lakonan Tom Hanks.

Disebabkan filem tersebut, Mehran mendapat perhatian media antarabangsa dengan ramai pemberita berebut-rebut  menemu bual lelaki itu sehinggakan pada suatu ketika, dia menerima sehingga enam temu bual sehari. 

Mehran dilahirkan pada 1956 di wilayah Khuzestan, Iran. Dia dilaporkan pergi ke Eropah untuk mencari ibu kandungnya.

Selama beberapa tahun, dia menetap di Belgium dan diarah keluar oleh beberapa negara termasuk Britain, Belanda dan Jerman kerana tidak mempunyai dokumen imigresen yang sah.

Mehran kemudian tiba di Perancis dan menjadikan Terminal 2F Lapangan Terbang Roissy Charles de Gaulle sebagai ‘rumahnya’. 

Rutin harian lelaki itu dihabiskan dengan menulis mengenai kehidupannya dalam sebuah buku nota serta membaca buku serta  surat khabar.

Meskipun diberi status pelarian dan dibenarkan tinggal di Perancis pada 1999, Mehran menetap di lapangan terbang tersebut hingga 2006 di mana ketika itu, dia dibawa ke hospital untuk menjalani rawatan akibat sakit.

Dia kemudian tinggal di sebuah hostel menggunakan wang diperoleh hasil daripada filem The Terminal.

Mehran dilaporkan kembali ke lapangan terbang itu beberapa minggu lalu dan tinggal di situ sehingga meninggal dunia akibat sakit tua.

Beberapa pegawai berkata, Mehran ditemui dengan ribuan Euro wang tunai dalam simpanannya. – Agensi  

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI