Oleh SURAIDAH ROSLAN
SEMPORNA – Kementerian Pertahanan menerusi Markas Angkatan Tugas Bersama 2 (Mk ATB2) terus komited memastikan keselamatan perairan negeri Sabah terutama di kawasan kepulauan akan sentiasa dipertingkatkan.
Isu ancaman keselamatan di pantai timur Sabah amat dititikberatkan dalam usaha membanteras dan mengurangkan aktiviti jenayah rentas sempadan seperti penyeludupan serta pemerdagangan manusia.
Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Dato’ Sri Muez Abd. Aziz berkata, operasi yang dijalankan Mk ATB2 di kawasan penugasan telah berjaya mengurangkan aktiviti jenayah rentas sempadan yang berlaku di kawasan perairan negeri ini.
Justeru, pihak kerajaan menerusi kementerian dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan sentiasa menambah baik dan mempertingkatkan keperluan aset-aset sedia ada termasuk kemudahan perumahan dan kem tentera.
“Kami akan bina beberapa kemudahan perumahan dan kem tentera baharu. Kami akan bina kem tentera darat baharu di Kem Paradise, Kota Belud dan Lahad Datu.
“Penambahan aset ini bagi memberi kemudahan yang lebih selesa kepada anggota ATM bagi membolehkan mereka menjaga keselamatan di kawasan ditugaskan,” katanya semasa Program Hari Bersama Media di Pulau Pandanan, di sini semalam.

Melalui program berkenaan, wakil-wakil media berpeluang merasai sendiri pengalaman pelaksanaan operasi dan melihat kesiapsagaan pasukan ATM yang sentiasa komited dalam penugasan menjaga kedaulatan serta keselamatan negara.
Wakil media yang hadir berpeluang merasai sendiri pengalaman menaiki bot tempur jenis Hammerhead dan Dolphin; mengamati penugasan anggota ATM di Pulau Pandanan, Semporna; serta melihat demonstrasi menyelamat tebusan di mock up perkampungan air oleh Pasukan Tindak Balas Pantas (QRF) dari 9 RAMD (PARA).
Muez berkata, program itu memberi peluang kepada pengamal media untuk mengetahui secara lebih dekat mengenai pengoperasian yang dilakukan ATM di bawah Mk ATB 2 yang dilaksanakan di seluruh pulau-pulau di Sabah khususnya dari perairan Kudat sehingga Tawau.
Tambahnya, berdasarkan maklum balas baik daripada media, ia akan diteruskan lagi pada masa akan datang pada skala yang lebih besar bagi memberi pendedahan tentang tugas pasukan keselamatan terutama ATM dalam menjamin keselamatan dan kedaulatan negara.

“Pada masa sama, program ini akan dapat membantu pihak media menyediakan laporan berita dengan lebih berkesan dan secara tidak langsung mampu bertindak memberi kenyataan balas bagi menafikan sebarang dakwaan negatif oleh pihak tidak bertanggungjawab.
“Jika dilihat sepanjang Januari hingga Ogos tahun ini, statistik laporan media berkaitan Kementerian Pertahanan yang direkodkan adalah sebanyak 29,202 pelaporan dari pelbagai agensi dan medium termasuk media Sabah,” katanya.
Jelasnya, ini menunjukkan media sentiasa mengikuti perkembangan pertahanan dan meletakkan bidang keselamatan sebagai satu subjek penting yang perlu diketengahkan kepada masyarakat. – KOSMO! ONLINE