fbpx

Fahrin Ahmad tak memilih watak, janji bagi impak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BIARPUN sudah hampir 20 tahun menjadi pelakon tetapi Fahrin Ahmad mengakui tidak kisah jika ditawarkan watak pembantu mahupun kameo.

PETALING JAYA – Pelakon Fahrin Ahmad sentiasa bersedia membawa watak pembantu atau muncul sebagai kameo asalkan impak lakonan meninggalkan kesan mendalam kepada penonton.

Katanya, memulakan kerjaya lakonan sejak 18 tahun lalu membuatkannya terus berusaha memberikan yang terbaik walaupun segelintir individu hanya melihat sesebuah tawaran sebagai peranan kecil.

“Besar atau kecil sesebuah karakter itu hakikatnya terletak di tangan pelakon iaitu cara bagaimana mahu menyerlahkan atau menjiwai watak tersebut.

“Bagi saya keberkesanan sesebuah naskhah dalam meninggalkan kesan terhadap audiens adalah menerusi gabungan keseluruhan watak dan perwatakan, jadi kesemua peranan saling berkait,” katanya.

Maka tegas Fahrin, setiap pelakon perlu memahami plot dan sub plot jalan cerita disusuli dengan permainan emosi setiap karakter.

“Tanpa adanya karakter dalam watak, penceritaan tetap takkan sempurna walaupun hanya melontarkan beberapa baris dialog.

“Saya memang tak kisah pun bawa watak pembantu. Ada tawaran yang datang tetapi semuanya bergantung dengan jadual memandangkan saya juga terbabit dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR). Mana-mana boleh selit, saya okey saja,” katanya kepada Kosmo! Online.

FAHRIN Ahmad mempromosikan kempen kesedaran e-waste sejak tahun lalu.

Dalam perkembangan terbaharu, pengacara berusia 43 tahun itu dipilih sebagai jurucakap Karnival Jom E-Waste bagi mempromosikan kepentingan pengumpulan buangan peralatan elektrik dan elektronik dalam kalangan masyarakat.

Fahrin memaklumkan, dia sudah menyertai kempen kesedaran anjuran Kementerian Alam Sekitar dan Air tersebut sejak tahun lalu bersama pelakon dan pelawak Bell Ngasri.

Sebelum ini, Fahrin mengakui tidak begitu peduli mengenai e-waste atau jumlah kutipan sisa elektronik sebelum terbabit sendiri dengan kempen berkenaan sejak tahun lalu.

“Sebenarnya banyak yang saya pelajari mengenai e-waste. Barangan elektronik dan elektrik seperti telefon bimbit serta televisyen yang rosak tidak boleh dibuang sesuka hati kerana memberi kesan yang tidak baik kepada alam sekitar.

“Selain memberi kesedaran kepada orang ramai menerusi laman sosial, rakan selebriti juga ramai yang berminat berkongsi info mengenai kepentingan e-waste,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI