KUALA LUMPUR – Penyanyi terkenal Indonesia, Bunga Citra Lestari tidak mahu memaksa diri untuk mencari pengganti suaminya Allahyarham Ashraf Sinclair yang meninggal dunia akibat serangan jantung dua tahun lalu.
Bunga, 39, bagaimanapun tidak menolak jika ditakdirkan bergelar isteri semula satu hari nanti, namun memberitahu, lelaki itu harus menerima hakikat Ashraf kekal dalam hatinya buat selama-lamanya.
“Jejaka yang ingin mendekati saya perlu sedar dan menerima bahawa Ashraf setiasa berada dalam hati saya selama-lamanya. Jika dia sedar hal itu, baru boleh ke fasa seterusnya,” kata pelantun lagu Wanita Terbahagia itu kepada Kosmo! kelmarin.
Ditanya sama ada beliau sudah bersedia menerima lelaki lain, Bunga atau BCL berkata, semuanya bergantung kepada cara individu itu mendekatinya.
“Saya juga tidak paksa diri untuk bertemu seseorang, tetapi enggan juga menolak (berjumpa orang lain). Kita tidak tahu apa yang Allah SWT sudah takdirkan dalam hidup ini. Jalani sahaja mengikut apa yang Dia aturkan,” katanya lagi.
Jelas pelakon filem Habibie & Ainun itu, tidak mudah untuk mencari lelaki bergelar suami dalam fasa hidupnya ketika ini memandangkan individu terbabit juga harus menambat hati putera tunggalnya, Noah Aidan Sinclair.
“Mencari seseorang pada usia dan status sekarang sangat berbeza berbanding zaman bujang. Banyak fasa dan perkara yang perlu dipertimbangkan. Jika bertemu dengan individu yang memenuhi syarat, saya serahkan semuanya kepada Tuhan.
“Bersedia atau tidak, saya juga masih belum jelas dengan perasaan sendiri. Stabil, tetapi masih sukar melupakan semua memori lalu,” ujarnya.
Bunga mengakui ramai melemparkan tanggapan salah mengenai hubungan baiknya dengan rakan-rakan selebriti termasuk Ariel Noah, namun tidak menyalahkan orang lain kerana mungkin mereka suka melihatnya.
BCL turut menitipkan ucapan terima kasih semua atas semangat dan doa buat beliau, Noah dan arwah suaminya.
“Sejujurnya agak gementar kembali semula ke Malaysia yang merupakan ‘rumah’ Ashraf. Bukan mudah kembali ke tempat yang penuh dengan memori manis kami. Ini pertama kali saya ke sini sejak pemergian suami,” katanya pada sidang akhbar penganjuran Konsert BCL Blossom Intimate di sini.
BCL mendirikan rumah tangga dengan Ashraf Daniel Mohamed Sinclair pada 8 November 2008 dan dikurniakan anak, Noah, 12. Jodoh mereka tidak panjang apabila Ashraf meninggal dunia secara mengejut pada 18 Februari 2020 di kediaman pasangan itu di Jakarta, Indonesia.
Sejak kematian Ashraf, BCL kerap digosipkan menjalin hubungan istimewa dengan selebriti seperti Ariel, Afgan dan Reza Rahadian.