fbpx

‘Rumah dipenuhi ular, katak, cicak tokek’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Helmi (kiri) dan isterinya, Zulfarina (tengah) menunjukkan sebahagian koleksi haiwan eksotik di kediaman mereka di Taman Rusa, Gua Musang. – AIMUNI TUAN LAH

GUA MUSANG – Bermula de­ngan minat, sepasang suami isteri berjaya membiak lebih 10 jenis haiwan termasuk ular di rumah mereka di Taman Rusa di sini.

Muhammad Helmi Izzuddin Yusof, 31, dan isterinya, Zulfarina Zulkifli, 30, kini selesa tinggal bersama lebih 200 ekor haiwan eksotik seperti ular, katak, cicak tokek harimau dan tarantula.

Menurut Muhammad Helmi, minat memelihara haiwan eksotik itu bermula semasa dia sedang belajar di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang di Selangor, 11 tahun lalu.

Katanya, selain minat membela spesies reptilia, dia juga mahu memastikan haiwan itu dapat melalui proses pembiakan dengan sempurna.

“Saya turut menjual haiwan ini secara dalam talian dan kami mempunyai lesen Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk memelihara haiwan eksotik ini.

“Saya anggarkan koleksi haiwan eksotik yang berada di rumah kini mencecah RM50, 000,” katanya ketika ditemui Kosmo! di rumahnya semalam.

Muhammad Helmi berkata, bagi kos perbelanjaan pemakanan, peruntukan tidak begitu tinggi kerana haiwan berkenaan tidak makan terlalu banyak.

Katanya, sebagai contoh, ular hanya diberi makanan sekali seminggu.

“Bagi haiwan eksotik kita perlu belajar mengenai selok-belok penjagaan supaya kekal sihat dan dapat membesar dengan sempurna.

“Paling penting kita harus menjaga kebersihan dan ja­ngan biarkan kawasan kotor serta bersepah agar ahli keluarga kita sendiri berasa selesa,” ujarnya.

Sementara itu, Zulfarina berkata, dia turut membantu suami dengan mengambil tempahan dan mengumpul pesanan termasuk makanan ular yang dihasilkan oleh mereka sendiri sejak empat tahun lalu.

Katanya, dia bersyukur apabila perniagaan dari rumah bersama suami mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

“Kami bercadang ingin membuka sebuah premis menjual haiwan eksotik, makanan dan ubat-ubatannya.

“Ketika ini sebarang tempahan termasuk maklumat boleh dibuat di media sosial Facebook kami, Raptor Riot Malaysia HQ,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI