fbpx

Tentera Darat nafi benarkan berkempen di kem

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zamrose

PETALING JAYA- Tentera Darat Malaysia (TDM) menafikan kenyataan tular di media sosial ketika ini yang kononnya Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Zamrose Mohd. Zain membenarkan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk berkempen di mana-mana kem tentera darat.

TDM melalui satu kenyataan di sini hari ini menjelaskan, kenyataan PTD telah dimanipulasi oleh pihak berkepentingan dan berupaya menjejaskan imejnya.

Dalam artikel bertarikh 6 November 2022 memetik kenyataan ‘Anggota Tentera diingat tidak terbabit secara langsung kempen PRU15’ telah dimanipulasi.

“Kenyataan yang dimanipulasi adalah; ‘Tetapi saya benarkan mantan Menteri Pertahanan masuk berkempen di dalam mana-mana kem Tentera Darat dia bertanding’.

“Kenyataan ini telah tersebar di aplikasi WhatsApp, adalah tidak wajar kerana disifatkan menyebarkan berita palsu, TDM memandang serius isu ini dan menegaskan bahawa kenyataan ini adalah tidak benar dan dilihat mempunyai unsur tidak baik oleh pihak yang terbabit,” menurut kenyataan itu hari ini.

Tambah TDM, PTD dalam kenyataannya pada sidang akhir di Majlis Penganugerahan Pingat Jasa Malaysia kepada Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM), baru-baru ini hanya memperingatkan anggota tentera tidak boleh terbabit secara langsung termasuk turun padang berkempen bagi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Ini kerana dianggap melanggar peraturan yang ditetapkan kepada anggota ATM. Malah turut menyatakan bahawa setiap anggota berhak untuk mengundi dan memilih siapa sahaja dalam PRU15 bagi menentukan masa depan negara.

“TDM tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba memanipulasi atau cuba memprovokasi melalui penyebaran berita yang tidak benar, yang akan menjejaskan nama baik TDM amnya dan nama baik PTD khususnya,” kata kenyataan itu lagi.

Justeru, TDM meminta semua pihak berhati-berhati dalam menyebarkan sebarang berita atau maklumat yang diterima dan disarankan agar menyemak terlebih dahulu kesahihan sesuatu sumber berita sebelum disebarkan. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI