fbpx

Mahkamah: Saya rugi projek NFC, bukan kerajaan – Mohamad Salleh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCorp) Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail berkata, kerajaan tidak rugi daripada kegagalan projek Pusat Fidlot Nasional di Gemas, Negeri Sembilan, sebaliknya beliau yang mengalami kerugian.

Mohamad Salleh yang juga suami bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, turut memberitahu pihaknya menanggung kerugian akibat wang milik NFC dibekukan dan dirampas kerajaan.

Katanya kerajaan juga gagal menyediakan infrastruktur termasuk rumah sembelih kualiti eksport (EQA), malah menggantung projek ternakan dan pembekalan lembu berkenaan.

“Saya menghabiskan seluruh masa saya membina projek ini bagi memastikan ini berjaya. Selepas (kerajaan) merampas duit, saya tidak boleh meneruskan projek ini. Saya yang mengalami kerugian, bukan kamu (kerajaan),”katanya.

Mohamad Salleh berkata demikian ketika menjawab soalan Peguam Kanan Persekutuan (SFC) Asliza Ali pada perbicaraan kes saman difailkan kerajaan terhadap NFC bagi menuntut pembayaran balik berjumlah RM253.6 juta.

Mohamad Salleh menegaskan, akibat kerugian itu telah menyebabkan pihaknya juga memfailkan tuntutan balas dengan menuntut ganti rugi RM86.25 juta daripada kerajaan.

Sementara itu berhubung soalan bahawa NFC gagal mencapai sasaran pengeluaran lembu iaitu sebanyak 6000 ekor sehingga 2010 berdasarkan kepada Laporan Ketua Audit Negara, Mohamad Salleh berkata NFCorp melepasi sasaran dengan membawa masuk lebih daripada 8000 ekor lembu daripada Darwin, Australia.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Anand Ponnudurai bersambung esok.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI