fbpx

Dihalau dari rumah sewa, suami tak peduli lepas beristeri dua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Sudahlah dihalau dari rumah sewa kerana lebih setahun tidak mampu membayar sewa, suami yang disayangi juga tidak ambil peduli kehidupan isteri dan enam anak selepas berkahwin lain.

Itu ujian kehidupan dilalui seorang wanita bersama anak-anak yang tidak dipedulikan ketua keluarga mereka sejak lelaki itu berkahwin dengan isteri kedua secara rahsia.

Menerusi kisah diceriakan Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie, Suzana Ghazali pada Facebook Bersama Suzana Ghazali, beliau menerima aduan daripada wanita itu yang mengatakan telah berkahwin 16 tahun dengan suami serta dimadukan ketika perkahwinannya berusia dua tahun.

“Hanya tahu perkahwinan kedua itu setahun selepas itu. Sejak itu, suami yang kerjanya tidak menentu mula mengabaikan hak si isteri dan si anak. Pengabaian berterusan hinggakan isteri dan anak-anak kerap kali mengikat perut.

“Isteri yang tidak bekerja terpaksa mengambil upah melakukan kerja sambilan dari rumah dengan pendapatan RM200 sebulan. Dua anak paling besar sudah berenti sekolah, setakat tamat sekolah kebangsaan.

“Kata si ayah, ‘belajar buat habis duit, belum tentu dapat kerja’. Jadi dua daripada enam beradik berumur 15 dan 13 tahun bekerja membantu ibu mereka,” katanya pada hantaran tersebut.

Beliau berkata, suami wanita itu hanya balik sekali dalam sebulan, malah kerap kali sekali dalam tiga atau empat bulan.

“Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari itu, suami langsung tidak peduli walau isteri dan anak-anak pernah minum air kosong sahaja seharian.

“Syukur ada jiran-jiran yang prihatin. Dalam masa sama, ada jiran ajak berniaga. Dapatlah isteri gunakan untuk tampung belanja,” katanya.

Hinggalah pada awal Oktober, si isteri berserta enam anak mereka diusir keluar oleh ejen sewa rumah ekoran suami telah gagal membayar sewa selama lebih satu tahun.

“Ketika diusir oleh ejen, si isteri menelefon si suami yg sudah lama tidak balik ke rumah. Jawapan suami, ‘pandai-pandai kau nak bawak anak-anak kau itu ke mana,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI