fbpx

Chemerkaw Village majukan Kampung Peruas, Ulu Dong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian daripada unit kediaman yang ditawarkan Chemerkau Village, Kampung Peruas di Raub, Pahang.

RAUB – Berkat pengorbanan membangunkan sebuah chalet peninggalan arwah bapa, kini seorang wanita boleh berbangga apabila pusat penginapannya menjadi salah sebuah tarikan utama di Kampung Peruas, Ulu Dong, Raub, Pahang.

Berkongsi kisah tersebut, Munirah Mustapa, 35, berkata, pada awalnya beliau bersama arwah bapanya telah membangunkan chalet berkenaan pada tahun 2005 di tepi Sungai Chemerkau, Kampung Peruas.

Melihat kepada potensi chalet yang semakin berkembang, dia kemudiannya membuat pinjaman dengan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) sebanyak RM3,000.

“Modal tersebut kami gunakan sebagai dana pusingan dan menambahbaik fasiliti pada tahun 2010. Pada tahun 2015, saya mengambil alih sepenuhnya chalet ini selepas dibaiki dan ditambah baik beberapa kemudahannya,” kata beliau kepada Kosmo!.

Munirah menjelaskan, disebabkan sambutan menggalakkan terhadap chalet tersebut, dia berhasrat menambah bilangan bilik dari semasa ke semasa.

“Perniagaan resorts semakin berkembang dan kini saya mempunyai 19 unit bilik pelbagai jenis seperti superior, deluxe, serta ‘dorm’. Kami juga mempunyai kabin dan tapak perkhemahan yang boleh menampung 100 orang.

“Saya turut mempunyai sembilan pekerja yang terdiri dari penduduk kampung,” kata lulusan Pengajian Perniagaan dari Politeknik Kota Bharu ini.

Mengulas lanjut, Munirah menerangkan, berkat usaha gigihnya di atas tanah tanah seluas satu hektar itu, akhirnya chalet tersebut dinaik taraf menjadi sebuah resort.

Selain menyediakan penginapan yang selesa kepada pengunjung, resort tersebut juga turut menyediakan pelbagai jenis makanan kampung dan barat.

“Chemerkaw Village Camp Resort terletak di pinggir Sungai Chemerkau yang jernih airnya serta mempunyai kolam ikan untuk memancing dan ia kini menjadi tempat popular untuk mengadakan majlis makan malam, kursus, majlis perpisahan, kem motivasi serta majlis perkahwinan.

“Kami juga akan sentiasa meningkatkan kemudahan resort bagi keselesaan pengunjung dan memastikan mereka akan datang lagi pada masa akan datang,” ujarnya.

Ibu kepada empat anak ini berkata, menerusi pinjaman tambahan RM30,000 daripada AIM, beliau bercadang untuk meningkatkan lagi kemudahan di resort berkenaan supaya menjadi sebuah resort terunggul dan terkenal di Raub.

Pada masa sama, Munirah turut berbangga apabila hasil kerja kerasnya selama ini berbaloi selepas dinobatkan sebagai Tokoh Belia Wanita Pahang pada tahun 2015 dan 2018.

Untuk tempahan chalet, boleh hubungi Munirah di talian 019-994 9095 atau melayari Facebook Chemerkaw Village Camp Resort.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI