LANGKAHNYA dalam gelanggang program realiti, Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) sudah rasmi terhenti, namun semangatnya untuk terus mewarnai industri muzik tanah air tidak sekali pun pudar.
Itu jiwa besar Tom atau nama sebenarnya, Raja Farah Afzal Raja Ikram.
Kata wanita berusia 36 tahun itu, dia berikrar untuk terus ligat beraksi sebagai penyanyi dan tidak lagi menghilang.
“Saya rasa bodoh. Sebelum ini saya menyanyi di kelab malam, memang semua puji saya menyanyikan lagu Akhirnya Kini Pasti.
“Saya tak pernah dapat maklum balas yang teruk. Tetapi apabila menyertai GV9 barulah saya tahu yang diri ini tidaklah sebagus mana.
“Banyak lagi yang saya masih perlu belajar. Saya masih rasa diri ini bodoh dalam bidang muzik,” katanya kepada HibGlam, baru-baru ini.

GV9 batu loncatan
Diajak berbicara tentang perancangan selepas ini, Tom memaklumkan, dia kini berada di tangan pasukan yang benar-benar boleh dipercayai.
“Saya sangat percayakan pengurus, Saiful Azlan Ahmad atau abang Aalan.
“Saya letakkan kepercayaan pada dia untuk bawa karier nyanyian saya ke peringkat yang lebih tinggi. Kalau ikutkan jika nak bawa diri sendiri dalam industri, memang saya tak pandai.
“Insya-Allah, saya takkan lari lagi. GV9 dah jadi batu loncatan, buatkan saya lebih dikenali di mata peminat,” tuturnya.
Dedah juara My Starz LG musim ketiga itu lagi, dia kini menetap di Kuala Lumpur bagi memberikan 100 peratus tumpuan terhadap kerjaya seni muziknya.
“Saya dah sewa rumah di Kuala Lumpur. Dah tersingkir dari GV9, jadi saya balik semula ke Langkawi, Kedah selesaikan segala barang-barang di sana.
“Selepas itu, nak minta abang Aalan carikan ‘job’. Kalau tiada, saya mungkin akan pulang ke kelab malam,” katanya.
Ditebak pertanyaan tentang perancangan single baharu, Tom berkata, perihal tersebut sedang dalam perancangan dan dia berharap agar dipermudahkan.
“Rancangan untuk keluar single baharu dah ada. Saya sudah berbincang dengan abang Aalan untuk disegerakan tapi sewaktu masih bertanding, dia minta fokus dengan GV9 terlebih dahulu.
“Saya memang akan selalu datang ke Langkawi sebab itu lokasi kegemaran, tempat saya meluncur air (surfing).
“Saya akan pulang ke sana setiap kali musim monsun. Kawan-kawan ramai di sana. Dah sampai masa untuk saya datang semula ke Kuala Lumpur dan cari rezeki di sini,” katanya seraya mendedahkan sudah empat tahun menetap di Langkawi.

Cari anak sulung
Sementara itu, meneruskan perbualan, Tom menyatakan dia sudah lama memasang impian untuk bertemu semula dengan anak sulungnya yang terpisah sejak lapan tahun lalu.
Permata hatinya yang bernama Megat Ariel Shakur kini menetap di Johor Bahru, Johor dan sepatutnya hadir pada konsert minggu lalu, namun seminggu sebelum itu, Tom tersingkir.
“Sudah banyak kali sebenarnya saya mahu cari anak. Boleh saja pergi sana (Johor Bahru) tapi ada benda yang tidak dapat dielakkan.
“Sewaktu saya mula-mula bertanding dalam GV9, terus saya dapat pesanan daripada dia berbunyi ‘mama, good luck’,” katanya.
Kata Tom yang menyambut hari ulang tahun kelahiran yang ke-35 minggu lalu, sekiranya ada rezeki kekal bertanding dalam GV9, anak pertamanya itu berhasrat mahu hadir menyaksikan persembahannya secara langsung, sekali gus bertemu bagi melepaskan kerinduan.

“Kalau ikutkan pada minggu depan (hujung minggu lalu), itu kali pertama saya tengok wajah anak sulung selepas kali terakhir bertemu semasa usia dia lima tahun.
“Sekarang usianya sudah 14 tahun. Suara juga dah berubah. Sebelum ini saya ada hubunginya tapi dia segan nak cari saya semula.
“Insya-Allah, saya akan ke Johor Bahru cari dia yang menetap di sana dengan bekas suami. Mereka orang baik-baik dan kini rasanya semua sudah matang,” ujar Tom.
Ditanya tentang status hak penjagaan anak, jawab Tom tenang: “Sulit untuk saya ceritakan tapi yang pasti, hak penjagaan anak bukan atas saya.”
Terdahulu, Tom menamatkan zaman gadisnya pada usia yang cukup muda iaitu 21 tahun dengan mengahwini seorang pemuda asal Johor, Mohd. Farhan pada tahun 2007.
Mereka dikurniakan seorang cahaya mata bernama Megat Ariel Shakur Mohd. Farhan. Jodoh mereka bagaimanapun tidak berkekalan apabila bercerai pada April 2010.
Pada 2012, Tom berkahwin kali kedua dengan pemuzik, Ahmad Khairul Mizan dan hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Putera Adler Iesta, 9, dan Putera Evans Ezra, 7.
Bagaimanapun, perkahwinan keduanya juga berakhir dengan perceraian.
Pada 2016, Tom kembali berumah tangga dan berkahwin dengan pemuzik, Eme Termizie Kaha, namun perkahwinan itu turut hancur di tengah jalan.















