fbpx
Pemain Selangor, Brendan Gan (tengah), diasak pemain Negeri Sembilan pada perlawanan Piala Malaysia 2022 antara Selangor menentang Negeri Sembilan, di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya sebentar tadi. Foto oleh SHIDDIEQIIN ZON

Piala Malaysia: Selangor selangkah ke separuh akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pasukan Selangor FC berjaya memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk meraih bekalan selesa selepas menewaskan Negeri Sembilan FC (NSFC) 2-0 pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia sebentar tadi.

Pada perlawanan di Stadium MB Petaling Jaya itu, skuad Tan Cheng Hoe membariskan kesebelasan terbaik dengan menyenaraikan trio serangan berbisa terdiri daripada Herlison Caion, Hein Htet Aung dan Nor Hakim Hassan.

Htet Aung tidak menunggu lama untuk menguji gawang pasukan lawan tetapi rembatan yang dilakukan pada minit pertama berjaya ditepis penjaga gol NSFC, Ahmad Syihan Hazmi.

Pemain import dari Myanmar itu terus menjadi nadi buat jentera serangan Gergasi Merah tetapi beberapa hantaran yang dilakukan gagal disudahkan dengan baik oleh Caion.

Htet Aung sekali lagi memiliki peluang keemasan untuk menjaringkan gol dengan percubaan yang dibuat pada minit ke-45 masih gagal melepasi Syihan dengan kedudukan 0-0 berakhir pada babak pertama.

Bersambung pada separuh masa kedua, skuad Selangor akhirnya meraih tuah selepas dihadiahkan sepakan penalti apabila pertahanan NSFC, Herold Goulon mengasari Shahrul Nazeem sekali gus dilayangkan kad merah.

Kesempatan tersebut digunakan sepenuhnya oleh Caion untuk meledak gol pembukaan pada minit ke-55.

Kelebihan beraksi dengan 11 pemain membolehkan skuad Merah Kuning terus menguasai perlawanan dan berusaha untuk menggandakan jaringan.

Gol kedua Selangor akhirnya berjaya diraih menerusi ledakan pemain gantikan, Aliff Haiqal pada minit ke-90 untuk menghadiahkan kemenangan berharga buat pasukan tuan rumah.

Aksi suku akhir kedua akan dilangsungkan di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi pada Sabtu depan.

Selangor kini dalam misi memburu Piala Malaysia buat kali ke-34 dalam sejarah selepas kali terakhir mendakap trofi berprestij itu pada edisi 2015 dengan menewaskan Kedah 2-0 di pentas final. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI