fbpx

New Delhi keluar arahan bekerja dari rumah, tutup sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Orang ramai berjalan berhampiran dengan India Gate yang tidak dapat dilihat disebabkan jerebu tebal di New Delhi, 3 November lalu. – AFP

NEW DELHI – Pihak berkuasa New Delhi mengarahkan separuh daripada kakitangan kerajaan untuk bekerja dari rumah ekoran kualiti udara yang semakin buruk di kota raya itu, lapor laman berita Wion News kelmarin.

Menteri Alam Sekitar New Delhi, Gopal Rai berkata, 50 peratus daripada kakitangan kerajaan di ibu negara India itu tidak perlu datang ke pejabat selain syarikat-syarikat swasta turut digalakkan melaksanakan sistem serupa.

Menurutnya, lori-lori diharamkan daripada memasuki kawasan bandar raya New Delhi melainkan bagi tujuan membawa barangan keperluan asas.

Tambah Gopal, satu pasukan khas yang terdiri daripada enam pegawai kanan telah ditubuhkan untuk mengawasi usaha-usaha mengekang pencemaran yang telah dikuatkuasakan.

Sementara itu, Ketua Menteri New Delhi, Arvind Kejriwal berkata, sekolah-sekolah rendah di kota raya itu turut akan ditutup bermula semalam.

Arvind dalam satu taklimat akhbar berkata, bagi sekolah menengah pula, aktiviti luar bilik darjah adalah tidak dibenarkan.

Pengumuman tersebut dikeluarkan sehari selepas sekolah-sekolah di bandar Noida diarahkan menjalankan pembelajaran secara online hingga 8 November ini.

“Kerajaan mengambil semua langkah yang perlu untuk mengawal situasi pencemaran udara.

“Dalam masa sama, kita turut menutup semua sekolah rendah di New Delhi bermula esok (semalam) hingga keadaan bertambah baik. Semua aktiviti luar bilik darjah bagi Kelas 5 ke atas tidak dibenarkan,” kata Arvind.

Data daripada Lembaga Kawalan Pencemaran Pusat India menunjukkan Indeks Kualiti Udara di New Delhi berada pada tahap 445 pada pukul 2 petang (waktu tempatan) kelmarin.

Kadar tersebut dikategorikan sebagai teruk dan boleh memberi kesan kepada orang yang sihat serta menyebabkan masalah kesihatan serius bagi pesakit kronik. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI