fbpx
DEMI mengekalkan stamina selepas dijangkiti Covid-19, Siti melakukan sukan Muay Thai.

Nafas pendek, kualiti nyanyian Siti Nurhaliza terjejas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengakui mengalami masalah nafas pendek ketika menyanyi selepas sembuh jangkitan Covid-19 tiga bulan lalu.

Menurut Siti, 43, kualiti nyanyiannya sekarang terganggu akibat masalah tersebut sekali gus memberi sedikit kesan sewaktu menjayakan konsert Music of The Soul: An Evening with Datuk Seri Siti Nurhaliza malam tadi.

“Selepas sembuh Covid-19, kesannya masih ada, nafas jadi pendek. Sebagai penyanyi, sudah tentu suara adalah aset penting sehingga menyukarkan saya mencapai nada tinggi bagi sesebuah lagu,” jelasnya kepada Kosmo! Online.

Bagaimanapun, Siti enggan menjadikan masalah tersebut sebagai halangan untuk memberikan persembahan terbaik kepada penonton.

Justeru, ibu kepada dua cahaya itu berusaha keras mengekalkan stamina dengan melakukan sukan Muay Thai.

“Sekarang ini, saya banyak aktif dengan sukan Muay Thai sebab nak kembalikan stamina dan banyak rasakan perubahan selepas mengikuti kelas tersebut.

“Saya berusaha nak dapatkan semula kualiti suara terutamanya melibatkan nada-nada tinggi.

“Selepas dijangkiti Covid-19, saya perlu jaga makan dan lebihkan latihan melibatkan stamina di dada. Ada juga yang cadangkan buat latihan berenang,” katanya.

Konsert yang berlangsung di Plenary Hall, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) malam tadi turut menampilkan penyanyi legenda, Datuk Awie.

Malah persembahan mega penyanyi tersohor itu meriah dihadiri lebih 3,000 orang penonton.

Konsert yang dianjurkan selama dua malam berkenaan menampilkan Siti menyampaikan 17 buah lagu termasuk beberapa lagu yang tidak pernah dinyanyikannya sebelum ini.

Selain lagu-lagu balada, Siti turut menyampaikan beberapa lagu irama tradisional seperti Pantun Budi dan Ya Maulai pada hujung persembahan.

“Saya sangat bersyukur dengan latihan rapi dan yakin mampu buat lebih baik hari terakhir konsert malam ini.

“Ini adalah persembahan eksklusif bagi mengutip dana untuk Yayasan NurJiwa dan penganjuran kali ini sangat istimewa sebab mendapat respons sangat baik daripada orang ramai.

“Jualan tiket juga sangat memberangsangkan bagi kedua-dua malam. Susunan lagu juga ada yang dibawa dalam versi original dan diberikan nafas baharu dipimpin pengarah muzik, Aubrey Suwito,” katanya.

Terdahulu, Siti mengalami simptom long Covid selepas dijangkiti wabak tersebut sebaik pulang bercuti dari London.

Kesannya, penyanyi itu kerap mengalami batuk-batuk sehingga menjejaskan kualiti suaranya. – KOSMO! ONLINE

POPULAR